Rabu, 30 Ogos 2017 | 11:43am
PENERJUN Malaysia, Jellson Jabilin (kiri) dan Hanis Nazirul Jaya Surya ketika beraksi pada acara 10 meter platform seirama lelaki Sukan SEA KL2017 di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
HANIS Nazirul Jaya Surya (kanan) bersama Jellson Jabilin berjaya merangkul pingat emas pada acara 10 meter platform seirama lelaki Sukan SEA KL2017 di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KL2017: Acara terjun tuai emas ke-142

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara berada di kelasnya tersendiri apabila menyapu bersih kesemua 13 pingat emas yang dipertandingkan pada hari terakhir terjun di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Pingat emas berkenaan adalah yang ke-142 buat kontinjen negara setakat ini.

Biarpun meletakkan sasaran 11 emas, penerjun muda negara, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin berjaya menghadiahkan pingat emas ke-13 negara acara 10 meter platform seirama lelaki dengan mengumpul 384.12 mata.

Kedua-dua penerjun yang berumur 16 tahun itu menyerlah sejak terjunan pertama lagi apabila mempamer terjunan yang baik untuk terus mendahului hingga ke terjunan keenam. Perak dimenangi Indonesia - Adityo Restu Putra dan Andriyan (364.14 mata) sementara gangsa dimenangi Singapura - Jonathan Chan dan Joshua James Chong (340.50 mata).


AKSI penerjun Malaysia, Jellson Jabilin (kiri) dan Hanis Nazirul Jaya Surya pada acara 10 meter platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Terdahulu, gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet menghadiahkan pingat emas ke-12 negara apabila mengumpul 300.36 mata acara 10 meter platform seirama wanita.

Mun Yee-Traisy diberi tentangan sengit penerjun Singapura, Lim Shen-Yan dan Freida Myra Lee apabila memperoleh mata yang sama 49.2 pada terjunan pertama sebelum menjarakkan diri pada terjunan seterusnya.

Penerjun Singapura itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak (255.71 mata) dan gangsa dimenangi Surincha Booranapol-Titiporn Tonapho dari Thailand (233.34 mata).

Untuk rekod, pada Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, skuad terjun negara turut menyapu bersih lapan emas yang dipertandingkan.


AKSI penerjun Malaysia, Jellson Jabilin (kiri) dan Hanis Nazirul Jaya Surya pada acara 10 meter platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Berita Harian X