Isnin, 4 September 2017 | 5:20pm
TIMBALAN Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ng Keng Chuan (tengah) bersama Chief De Mission Kontinjen Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Subramaniam Raman (kanan) dan Pengurus Besar MPM, Kapten G.Mohan (kiri) ketika sidang media MPM Sukan Para Asean ke-9 di Kompleks Paralimpik kampung Pandan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Medan uji persiapan 2 tahun

KUALA LUMPUR: Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) disifatkan sebagai medan sebenar untuk menilai sejauh mana keberkesanan program yang sudah diharungi semua atlet Paralimpik selama dua tahun sebagai persiapan ke temasya serantau itu.

Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ng Keng Chuan berkata, temasya itu turut menjadi platform buat semua atlet negara mempersembahkan apa yang sudah diperoleh sepanjang dua tahun menjalani persiapan dalam misi membantu Malaysia muncul juara keseluruhan buat kali kedua.

Katanya, keberkesanan pelbagai program yang diperkenalkan sebelum ini, sudah terbukti menerusi kejayaan besar yang diraih atlet Sukan SEA 2017 (KL2017), sekali gus menjadi petunjuk positif betapa atlet Paralimpik juga mampu meraih kejayaan sama pada temasya Para KL 2017 ini.

"Dengan pelbagai program yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta dibantu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), temasya ini akan menjadi platform untuk menguji sejauh mana perkembangan yang bakal ditunjukkan atlet kita berbanding temasya dua tahun lalu.

"Kita memiliki ramai atlet baharu dan pelapis muda, jadi sudah tentu kita mahu melihat apa yang akan dipersembahkan oleh mereka pada temasya kali ini. Saya pasti mereka akan memberikan yang terbaik terutama apabila beraksi di laman sendiri.

"Susulan kejayaan yang begitu membanggakan pada KL2017, ini membantu membakar semangat atlet Paralimpik untuk bekerja lebih keras dan saya yakin kontinjen Malaysia dapat meraih pencapaian yang lebih baik kali ini," katanya ketika sidang media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, hari ini.

Bagi temasya yang memasuki edisi kesembilan itu, seramai 1,452 atlet mengesahkan penyertaan daripada 11 negara yang bertanding dalam 16 sukan, membabitkan 368 acara untuk merebut 1,715 pingat yang ditawarkan secara keseluruhan.

Pada masa sama, Keng Chuan mengesahkan enam venue yang digunakan pada Sukan SEA 2017 akan turut digunakan untuk semua 368 acara yang dipertandingkan.

"Enam acara akan dilangsungkan di KL Sport City di Bukit Jalil, membabitkan memanah, olahraga, badminton, bola sepak lima sebelah, bola sepak tujuh sebelah dan renang, sementara berbasikal akan berlangsung di Putrajaya dan Velodrom Nasional.

"Tujuh acara lagi akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) membabitkan acara catur, 'goalball', angkat berat, bola tampar duduk, bola keranjang kerusi roda, boccia dan pingpong sementara boling di Sunway Pyramid.

"Tenis kerusi roda pula akan berlangsung di Pusat Tenis Negara dengan acara akan membuka tirainya pada 17 hingga 23 September ini," katanya.

125 dibaca
Berita Harian X