Selasa, 5 September 2017 | 5:15pm
ATLET memanah negara, Yuhaizam Yahya (kiri) dan Ahmad Jafry Jamaludin (kanan) pada sidang media Program Kita Juara Para Asean di kem fasa akhir Hotel Seri Pasific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Jafry tekad julang recurve

KUALA LUMPUR: Bakal tampil buat julung kalinya di Sukan Para ASEAN 2017, Ahmad Jafry Jamaludin bersedia untuk menaikkan nama pemanah recurve negara dalam menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.

"Tekanan pastinya agak tinggi, namun kita mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

"Lagipun persediaan selama dua tahun ini adalah mencukupi dengan pendedahan menyertai kejohanan di luar negara," katanya.

Pemanah 32 tahun itu berkata, dia dapat merasakan prestasinya semakin meningkat, apa lagi selepas merangkul pingat perak pada Kejohanan Ranking Memanah Dunia di Republik Czech tahun lalu.

Jafry sebelum ini aktif sebagai pemain golf ketika menuntut di Australia, namun dia mengalami kecederaan tulang belakang dalam satu kemalangan pada 2011.

"Saya minat sukan yang perlu bertarung dengan diri sendiri dan hanya pada 2015 saya memilih untuk sertai memanah apabila dapat merasakan kesesuaian," katanya.

Memanah yang akan dipertandingkan pada 18-22 September dengan tiga emas diletakkan menjadi sasaran kontinjen negara, termasuk satu pingat daripada recurve individu.

174 dibaca
Berita Harian X