Selasa, 5 September 2017 | 6:13pm
TIMBALAN Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ng Keng Chuan mahu atlet jalani proses klasifikasi. - Foto Luqman Hakim Zubir
TIMBALAN Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ng Keng Chuan mahu atlet jalani proses klasifikasi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Atlet perlu jalani proses klasifikasi

KUALA LUMPUR: Semua atlet Paralimpik yang bertanding pada Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) perlu menjalani klasifikasi terlebih dulu yang akan dijalankan bermula 14 hingga 16 September, sebelum dibenarkan menyertai acara masing-masing.

Perkembangan itu disahkan oleh Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ng Keng Chuan yang menjelaskan proses itu begitu penting kerana ia akan menentukan kelayakan atlet untuk bertanding mengikut kelas dan jenis kekurangan yang dihadapi mereka.

Katanya, mereka perlu menilai semula kelayakan atlet terutamanya membabitkan penyertaan atlet baharu dan juga atlet yang berkemungkinan perlu bertukar kelas selepas mendapati keadaan fizikal mereka lebih baik berbanding temasya sebelum ini.

"Seperti mana yang semua sedia maklum, status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak statik dan ia boleh berubah. Dengan pemulihan dan rehabilitasi yang dijalankan, berkemungkinan besar keadaan mereka berubah menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

"Sebagai contoh, sebelum ini mereka tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki namun selepas pemulihan, dia mampu untuk menggerakkan sedikit tangannya jadi dia perlu dikategorikan dalam kelas yang berbeza.

"Banyak klasifikasi yang perlu ditentukan mengikut keadaan terkini tubuh mereka.

"Perubahan kelas dan acara adalah disebabkan peningkatan tubuh mereka yang berada pada situasi lebih baik, sebab itulah kita perlu sentiasa menilai dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di katanya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, semalam.

Temasya Para KL2017 yang sudah pun memasuki edisi kesembilan itu menyaksikan seramai 1452 atlet mengesahkan penyertaan membabitkan 11 negara bertanding dalam 16 sukan dan beraksi dalam 368 acara untuk merebut 1715 pingat secara keseluruhan.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Datuk Subramaniam Raman meminta penyokong agar dapat memberikan sokongan sama seperti yang dilontarkan semasa temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) lalu.

Subramaniam berkata, dengan kemasukan percuma ke semua venue perlawanan, sudah pasti penyokong tidak berdepan masalah untuk menonton aksi atlet Paralimpik negara sekaligus membakar semangat mereka untuk memberikan yang terbaik.

"Kalau dilihat daripada kejayaan di KL2017, penyokong begitu memainkan faktor yang penting, jadi saya mengharapkan mereka akan turut memberi sokongan kepada atlet Paralimpik kita.

"Biar mereka tahu rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang mereka," katanya.

Berita Harian X