Selasa, 5 September 2017 | 8:05pm
RATU renang Malaysia, Nurul Huda Abdullah peraga pingat emas yang dimenangi di Sukan Sea pada tahun 1989. - Foto NSTP/ LIBRARY

Hasrat Nurul Huda dapat perhatian MSN

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk berbincang dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai hasrat bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang mahu membantu sukan ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan perkara akan dibincangkan secara lebih mendalam dengan ASUM kerana MSN juga mengharapkan berharap bekas atlet dapat membantu industri sukan negara.

Shapawi memaklumkan perkara itu (hasrat Nurul Huda) disuarakan kepadanya ketika sesi pertemuan bersama pemenang 23 pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini.


AKSI ratu renang Malaysia, Nurul Huda Abdullah pernah raih 8 pingat emas di Sukan Sea 1989. - Foto NSTP/ LIBRARY

"Kita mengalu-alukan kesediaan Nurul Huda untuk terbabit dalam sukan renang tempatan dan sememangnya kita mengharapkan bekas atlet, khususnya renang bersama kembali dan memajukan sukan ini.

"Semasa perjumpaan singkat dengan Nurul Huda, kita ada menyentuh perkara ini dan tentunya kita akan mengadakan perbincangan susulan dengan ASUM, InsyaAllah," kata Shapawi kepada BH Sukan, hari ini.

Hari ini, BH Sukan melaporkan Nurul Huda Abdullah memberi bayangan akan kembali menggegar kolam renang selepas bersara sejak 27 tahun lalu.

Pemegang rekod pemenang pingat emas terbanyak Malaysia dalam sejarah Sukan SEA itu bagaimanapun menegaskan dia tidak berhasrat untuk aktif berenang semula, sebaliknya membantu melahirkan lebih ramai 'Nurul Huda'.

Jelasnya, dia sedang mempertimbangkan untuk kembali aktif dalam dunia renang, namun bagaimana caranya, perkara itu belum dapat dipastikan kerana masih belum ada sebarang perbincangan rasmi dilakukan.

Nurul Huda yang kini menetap di Kuala Lumpur sejak 2003 selepas berkelana ke Australia dari 1981 mengakui, dia akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman lalu untuk menyumbang kepada pembangunan sukan renang di Malaysia.

10125 dibaca
Berita Harian X