Rabu, 6 September 2017 | 7:37pm

Doping: Tunggu jawapan atlet KL2017

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) masih menunggu maklum balas daripada seorang atlet luar negara yang didapati positif menggunakan dadah terlarang semasa temasya dwitahunan itu, bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr S.S. Cheema berkata, atlet berkenaan, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara berkenaan, Pertubuhan Antidoping Kebangsaan (NADO), Agensi Antidoping Dunia (WADA) dan persekutuan sukan antarabangsa berkaitan telah dimaklumkan mengenai perkara itu minggu lalu.

"Kami masih menunggu jawapan atlet itu sebelum tindakan susulan diambil. Kami telah menghantar surat menerusi e-mel dan pos...kini terpulang ke atlet berkenaan sama ada mencabar sampel ujian B atau sebaliknya," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurutnya, sebaik saja menerima keputusan ujian doping menerusi e-mel dari makmal di New Delhi pada 28 Ogos lalu, pihaknya telah berbincang dan mendapati tiada penggunaan 'Therapeutic Use Exemption' (TUE) daripada atlet berkenaan.

"Oleh itu tidak ada justifikasi untuk atlet berkenaan menggunakan bahan terlarang," katanya.

Menurut kod WADA, atlet boleh mengguna pakai TUE untuk mengambil bahan di bawah senarai bahan terlarang jika mereka memerlukan bahan berkenaan untuk tujuan rawatan penyakit atau kecederaan.

Dr Cheema, yang sebelum ini mengesahkan seorang pemenang pingat pada KL2017 telah gagal ujian doping, bagaimanapun tidak mendedahkan jenis bahan terlarang digunakan, identiti atlet mahupun jenis sukan kerana ia bertentangan dengan protokol ujian doping.

Beliau berkata, pendengaran kes atlet itu akan dijalankan menerusi aplikasi Skype memandangkan atlet berkenaan dan panel adalah daripada pelbagai negara sebelum sebarang bentuk penggantungan mahupun tindakan diambil.

Katanya, daripada 804 ujian air kencing dan 32 sampel darah diambil untuk ujian doping, jawatankuasa berkenaan setakat ini telah menerima lebih 50 peratus keputusan ujian yang diambil.

"Kami masih menerima keputusan makmal setiap hari dan akan membuat laporan penuh sebaik saja menerima kesemua keputusan...saya berharap tiada lagi kes positif selepas ini," katanya. - Bernama

2650 dibaca
Berita Harian X