Jumaat, 8 September 2017 | 7:08pm
KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad (kanan) mengingatkan barisan pemain supaya segera bangkit mencari semula prestasi terbaik. - Foto Osman Adnan

Abdul Talib akui kelemahan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad akui sudah mengenal pasti beberapa kelemahan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan yakin mampu memperbaikinya sebelum bermula saingan Piala Raja Thai, Disember ini.

Sambil mengakui lega dengan bayangan diberikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk mengekalkannya, jurulatih berusia 46 tahun itu bagaimanapun mengingatkan barisan pemain supaya segera bangkit mencari semula prestasi terbaik.

Jelasnya, andai gagal, dia mungkin terpaksa menyerap beberapa 'muka baharu' dengan menilai prestasi pemain di Grand Prix Kebangsaan yang sedang berlangsung ketika ini dan Sepak Takraw League (STL) bermula 29 September ini.

"Buat permulaan, kami barisan kejurulatihan akan turun menilai aksi pemain di Grand Prix Kebangsaan, kalau ada muka baharu yang boleh diserap, mengapa tidak kami memanggilnya untuk menyertai pemilihan yang akan diadakan nanti.

"Antara kriteria utama yang kami tekankan ialah pemain itu perlulah memiliki sikap daya saing yang tinggi dan berjiwa besar kerana kami mengenal pasti masalah gugup sebagai punca mengapa pasukan negara gagal beraksi konsisten di KL2017.


PEMAIN negara, Mohd Hanifiah Dollah (kanan) melakukan libasan ketika menentang Filipina pada aksi sepak takraw regu lelaki Sukan SEA KL2017, lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Justeru, setiap pemain tidak kira sama ada senior atau muda perlu bersaing untuk mendapat tempat dan kita akan kaji setiap pemain di dua kejohanan ini sebelum putuskan barisan pemain," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Abdul Talib turut menggariskan pertahanan yang longgar turut menjadi isu yang perlu diberi penekanan bersama tujuh jurulatih lain.

Malah, dia tidak menolak ada pemain yang masih murung di atas persembahan suram di KL2017 tempoh hari, sekali gus memaksanya memikirkan cara terbaik untuk mengembalikan motivasi mereka.

Katanya, tidak mustahil segala kelemahan dan masalah itu diperbaiki tatkala masih berbaki tiga bulan sebelum Piala Raja Thai menyingkap tirainya.

"Tetapi belum ada kepastian sebenar kerana mungkin Piala Dunia Sepak Takraw akan dilangsungkan pada November ini selepas enam tahun tidak dianjurkan, cuma kena menunggu pengesahan rasmi daripada PSM," kata Abdul Talib lagi.

Ketika ini skuad sepak takraw negara dianggotai 45 pemain termasuk pemain acara chinlone.


AKSI Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar (kiri) melakukan libasan ketika menentang Laos pada aksi sepak takraw regu lelaki Sukan SEA KL2017, lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

797 dibaca
Berita Harian X