Sabtu, 9 September 2017 | 12:18am
KETUA UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing (tengah) meraikan atlet KL2017 pada Majlis Meraikan Wira KL2017 Parlimen Sepang, di Sama-Sama Hotel, KLIA. - Foto Samadi Ahmad

UMNO Sepang rai 10 atlet KL2017

SEPANG: Seramai 10 atlet Sukan SEA Ke-29 (KL2017) dari daerah ini yang meraih pingat pada temasya sukan itu baru-baru ini diraikan dalam satu majlis anjuran UMNO Sepang di sini, malam ini.

Ketua UMNO Sepang, Datuk Marsum Paing, berkata penganjuran majlis itu bertujuan meraikan anak muda berkenaan yang menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.

"Kita berbangga kerana daripada 10 atlet ini, sebanyak tujuh orang menyumbangkan pingat emas.

"Sebagai mewakili rakyat Sepang, kami terhutang budi kepada atlet ini kerana berjaya menyumbang pingat sekali gus membantu negara menjuarai pertandingan ini.

"Kejayaan mereka ini menjadi contoh kepada golongan muda di kawasan ini bagi menggalakkan mereka supaya unggul dalam bidang sukan, namun pada masa sama, turut memberi keutamaan untuk cemerlang dari segi akademik," katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Wira KL2017 Parlimen Sepang, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Dengkil, Shahrum Mohd Shari serta Naib Ketua UMNO Sepang, Datuk Karim Mansor dan Ketua Wanita UMNO Sepang, Azizah Harun.


KETUA UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing (tengah) meraikan atlet KL2017 pada Majlis Meraikan Wira KL2017 Parlimen Sepang, di Sama-Sama Hotel, KLIA. - Foto Samadi Ahmad

Atlet dari Sepang yang menyumbang pingat emas ialah Ahmad Syukri Abdul Aziz bagi acara perahu layar, Senthil Kumaran Selvarajoo (karate), Saiful Bahri Musmin (petanque), Mohd Hazim Syahmi Shahrum yang turut memenangi gangsa (luncur ais), Emma Firyana Saroji (boling padang), Nur Dhabitah Sabri yang juga memenangi gangsa (terjun) dan dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli (boling padang).

Penyumbang pingat perak ialah Lee Hup Wei (lompat tinggi), Norashikin Mohamad Sayed (perahu layar) dan Mohamad Iskandar Zulkarnain Ahmad (taekwondo).

Pada majlis itu, Marsum turut menyampaikan wang tunai RM1,000 kepada atlet yang meraih emas, RM600 bagi perak dan RM400 bagi gangsa sebagai penghargaan kepada atlet terbabit.

173 dibaca
Berita Harian X