Isnin, 11 September 2017 | 3:46pm
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (dua dari kanan) bergambar bersama sebahagian atlet selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Atlet dan Jurulatih Negeri Selangor Pada Kejohanan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 di Istana Alam Shah. - Foto BERNAMA
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan insentif kepada Farah Ann Abdul Hadi pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet dan Jurulatih Selangor KL2017 di Istana Alam Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan insentif kepada atlet negara An Najwa Azizan pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet dan Jurulatih Selangor KL2017 di Istana Alam Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan insentif kepada atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet dan Jurulatih Selangor KL2017 di Istana Alam Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

Sultan Selangor berkenan beri insentif atlet Sukan SEA

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi insentif berjumlah RM540,000 kepada 142 atlet Selangor yang cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu. 

Baginda bertitah, atlet yang mendapat pingat emas memperoleh ganjaran RM5,000, gangsa RM3,000 dan perak RM2,000, bagi setiap pingat.  

Baginda turut berkenan memberi insentif RM5,000 kepada setiap jurulatih. 

"Beta harap insentif ini mampu memberi motivasi kepada saudara saudari dan dijadikan azimat untuk melakukan yang lebih baik pada kejohanan akan datang. 

"Terima kasih kepada Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Selangor kerana bersetuju dengan cadangan beta untuk memberi sumbangan kepada atlet Selangor yang memperoleh pingat pada KL2017," titah baginda. 

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet dan Jurulatih Selangor KL2017 di Istana Alam Shah di sini, hari ini. Yang turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.  

Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian atlet yang sentiasa berusaha mengharumkan nama negara, bukan seperti sesetengah pihak yang tidak segan silu memburukkan nama Malaysia di luar negara. 

"Saudara saudari adalah wira dan srikandi negara yang benar-benar komited untuk menaikkan nama negara. 

"Beta berharap di masa akan datang, atlet dari Selangor akan dapat menyumbang lebih banyak pingat dalam sukan berprestij di peringkat antarabangsa. 

"Pencapaian cemerlang ini mampu menjadi pembakar semangat bagi meraih pencapaian lebih baik pada Sukan Asia di Palembang, Indonesia tahun hadapan," titah baginda  Sultan Selangor bertitah, kejayaan itu adalah usaha gigih guru dan jurulatih di peringkat sekolah dalam mengesan bakat serta melatih sehingga ke peringkat membanggakan. 

"Beta harap Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan terus melatih bakat baharu sejak di bangku sekolah. Beta kagum dengan komitmen dan kegigihan jurulatih yang tidak jemu menawarkan kepakaran serta berkongsi pengalaman.

"Baginda menyeru MSNS memberi tumpuan dan fokus dalam melahirkan atlet yang mampu meraih emas di peringkat antarabangsa khususnya Sukan Olimpik dan Komanwel seperti olahraga, renang, berbasikal, gimnastik dan ekuestrian," titah baginda. 

Titah baginda, kejayaan itu tidak mampu dicapai tanpa kemudahan yang disediakan pihak kerajaan dan swasta. 

"Beta berharap sukan terus menjadi elemen terpenting dalam kehidupan sosial rakyat dan jangan dicampur adukkan dengan fahaman dan kepentingan politik, " titah baginda.

2925 dibaca
Berita Harian X