Isnin, 11 September 2017 | 9:56pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu perancangan itu dilaksanakan sebagai usaha untuk memberi peluang kepada golongan OKU supaya mereka turut merasai pengalaman yang sama seperti masyarakat normal bagi menyokong atlet negara pada temasya yang membuka tirainya 17 hingga 23 September ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu perancangan itu dilaksanakan sebagai usaha untuk memberi peluang kepada golongan OKU supaya mereka turut merasai pengalaman yang sama seperti masyarakat normal bagi menyokong atlet negara pada temasya yang membuka tirainya 17 hingga 23 September ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Langkah inklusif bantu penonton OKU

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) akan mengambil beberapa langkah inklusif bagi memenuhi keperluan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memastikan mereka dapat menyaksikan aksi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) tanpa sebarang kesulitan.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perancangan itu dilaksanakan sebagai usaha untuk memberi peluang kepada golongan OKU supaya mereka turut merasai pengalaman yang sama seperti masyarakat normal bagi menyokong atlet negara pada temasya yang membuka tirainya 17 hingga 23 September ini.

"Enam lokasi menjadi venue pertandingan pada temasya kali ini dan secara keseluruhannya, sebanyak 1,340 tempat duduk khas disediakan untuk golongan OKU di semua lokasi pertandingan, sejajar dengan matlamat untuk memberikan mereka pengalaman menonton sama seperti penonton normal.

"Perkhidmatan untuk pengangkutan ke stadium dan lokasi pertandingan juga turut dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, seperti tempat duduk golongan berkerusi roda selain lebih banyak papan tanda akan diletakkan di tempat strategik untuk membantu golongan OKU mendapatkan panduan arah atau laluan khas yang betul," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN di ibu negara, di sini, sebentar tadi.

Selain itu, Khairy menyatakan kemudahan khas turut disediakan di KL Sport City dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) untuk memudahkan pergerakan golongan OKU bagi menyaksikan acara, termasuk pada hari pembukaan dan penutup temasya terbabit.

"Sebanyak 150 tempat letak kenderaan di Tempat Letak Kereta B dikhaskan untuk golongan OKU yang menaiki kenderaan sendiri ke stadium, namun hanya kenderaan berpelekat OKU yang diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan meletak kenderaan di tempat khas ini.

"Perkhidmatan buggy turut disediakan untuk membawa mereka daripada Tempat Letak Kereta B ke stadium. Organisasi berkaitan golongan OKU yang ingin membawa dan meletakkan bas di kawasan stadium boleh menghubungi MASOC di talian 012-9535375 (Adam) atau 013-2064339 (Aini) untuk tujuan terbabit.

"Golongan OKU juga boleh memasuki KL Sport City menggunakan laluan khas menerusi pintu masuk A dan E manakala keseluruhan barisan pertama di Aras 2 di sekeliling Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut disediakan untuk golongan OKU dengan sukarelawan akan ditempatkan di barisan itu bagi membantu mereka nanti," katanya.

Selain kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan, seramai 4,000 sukarelawan akan bertugas sepanjang temasya Para KL2017 dan sejumlah besar akan ditugaskan untuk membantu menjaga golongan OKU serta atlet paralimpik di lokasi pertandingan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X