Khamis, 14 September 2017 | 10:11pm
ATLET renang Para, James Wong menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil menjelang Sukan Para Asean nanti. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: James buru tiket Komanwel, Para Asia

BUKIT JALIL: Perenang berdarah kacukan Malaysia - United Kingdom, James Wong Tien Yu mempunyai misi besar di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang bakal membuka tirai Ahad ini.

James berkata dia memburu kelayakan ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia, dalam tiga acara iaitu 100m kuak dada, 100m kupu-kupu dan 200m rampaian individu.

Namun di sebalik keghairahan itu, dia tidak meletakkan sasaran pingat kerana sedar bakal mendapat saingan sengit daripada dua perenang Paralimpik Rio 2016 iaitu Ernie Gawilan dari Filipina dan Nguyen Quang Vuong dari Vietnam.

"Di Sukan Para ASEAN ini, saya hendak dapatkan catatan masa lebih baik kerana ingin melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia tahun depan dalam tiga acara kegemaran saya ini.


ATLET renang Para, James Wong menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil menjelang Sukan Para Asean nanti. - Foto Osman Adnan

"Apapun, saya tidak berani hendak memikirkan mengenai pingat kerana dalam kategori yang saya sertai, ada dua perenang yang beraksi di Paralimpik Rio tahun lalu.

"Saingan agak kuat, jadi sukar untuk saya bercakap mengenainya," kata atlet 23 tahun itu yang berharap mampu beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, ketika ditemui sejurus tamat sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

James tiba di Kuala Lumpur minggu lalu demi menyertai Para KL2017 dan dijadual kembali ke Australia pada 2 Oktober depan.

Anak kepada pasangan Wong Chin Yuan dan Louise Bureau itu sudah menamatkan pengajian di University of Adelaide, Australia tahun lalu dan kini berkhidmat sebagai jurulatih di Kelab Renang Norwood, selain berlatih sepenuh masa.

115 dibaca
Berita Harian X