Khamis, 14 September 2017 | 10:15pm
SEBAHAGIAN daripada atlet Para ASEAN Filipina tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena Sukan Para ASEAN Ke-9. - Foto BERNAMA

Para KL2017: Skuad bola keranjang Filipina idam ke final

SEPANG: Pasukan bola keranjang lelaki Filipina, yang dianggap sebagai gergasi Asia Tenggara, berharap dapat merangkul lebih daripada pingat gangsa dalam acara bola keranjang kerusi roda pada Sukan Para ASEAN Ke-9 (Para KL2017), 17 hingga 23 September ini.

Sejak penyertaan pasukan itu di Myanmar 2013, Filipina hanya mampu meraih pingat gangsa, berbanding skuad Sukan SEA negara itu, yang menjadi juara dalam 17 daripada 19 edisi sejak sukan berkenaan diperkenalkan.

Thailand membuktikan penguasaannya dalam acara bola keranjang kerusi roda dengan memenangi emas bagi acara tiga lawan tiga dan lima lawan lima, sejak edisi 2011 di Indonesia, manakala Malaysia meraih perak dalam ketiga-tiga edisi itu.

Bagaimanapun, kali ini Filipina meletakkan sasaran lebih tinggi ke final dan memenangi perak atau emas, kata jurulatih Vernon Perea.

Vernon yang membimbing pasukan itu sejak ia ditubuhkan pada 2012, berkata walaupun memiliki semua kemahiran asas dalam permainan bola keranjang, perkara utama yang menjadi kekangan anak didiknya ialah peralatan.

"Faktor nombor satu ialah kerusi kami berat, iaitu kira-kira 18-20 kilogram (kg), berbanding negara lain yang menggunakan kerusi seberat hanya sekitar lapan hingga 10kg dan lebihan berat itu menjadi beban kepada pemain.

"Di samping itu, kami memulakan program bola keranjang kerusi roda sangat lewat berbanding negara lain yang memulakannya sejak lama dulu. Maka, sukarlah bagi kami mengejar mereka," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.


SEBAHAGIAN daripada atlet Para ASEAN Filipina tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena Sukan Para ASEAN Ke-9. - Foto BERNAMA

Bagi kapten pasukan, Juanito Mingarine yang mula beraksi dalam permainan itu pada 1998, peralatan berat bukan halangan untuk pasukannya mempamerkan prestasi lebih baik dan pulang dengan kejayaan lebih besar pada edisi ke-9 ini.

"Kali ini, saya dan rakan sepasukan membuat persiapan dengan baik. Walaupun tanpa peralatan sewajarnya, kami memiliki kemahiran, jadi kami tak perlu bimbang mengenai pasukan lain, tetapi perlu membuktikan bahawa kami mampu melakukannya dengan lebih baik," kata pemain 45 tahun itu, yang menggunakan kerusi roda sejak berusia lapan bulan akibat polio.

Lima pasukan iaitu Filipina, Thailand, Laos, Myanmar dan tuan rumah, Malaysia akan beradu kehebatan dalam format round robin untuk merebut pingat emas apabila acara bola keranjang bermula dari 18 hingga 22 September di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). - BERNAMA

74 dibaca
Berita Harian X