Jumaat, 15 September 2017 | 10:41pm

Para KL2017: Guna pengangkutan awam ke upacara perasmian

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menggunakan pengangkutan awam untuk ke upacara perasmian Sukan Para ASEAN Kesembilan (Para KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Ahad ini.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia KL2017 (MASOC) dalam satu kenyataan hari ini, berkata stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdekat LRT Bukit Jalil dengan pengguna daripada laluan lain boleh membuat pertukaran tren di stesen Sri Petaling dan stesen Masjid Jamek.

Bagaimanapun, waktu operasi perkhidmatan LRT dan KTM Komuter tidak dilanjutkan.

Menurut MASOC, semua laluan sekitar kawasan Kuala Lumpur Sports City di Bukit Jalil (KLSC) akan ditutup sepenuhnya dan orang awam dinasihatkan untuk datang awal ke stadium.

"Zon menurunkan penumpang bas, teksi dan perkhidmatan Grab hanya di tepi stesen LRT Bukit Jalil iaitu di Jalan Merah Cagar," katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang memandu sendiri, tempat letak kenderaan awam disediakan di Technology Park Malaysia (TPM) yang dibuka dari jam 3 petang tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Perkhidmatan perantara percuma serta bas khas Orang Kelainan Upaya (OKU) akan disediakan selang 10 minit untuk pergerakan dari tempat letak kenderaan di TPM ke stadium dan sebaliknya.

Dalam pada itu, sebanyak 150 tempat letak kenderaan Zon B di stadium berkenaan disediakan untuk kenderaan berpelekat OKU dan perkhidmatan buggy disediakan untuk ke stadium.

Pintu stadium akan dibuka seawal jam 4 petang manakala program praacara pula akan bermula pada jam 6 petang, sebelum upacara perasmian bermula jam 8.15 malam.

MASOC juga berkata hanya penonton yang mempunyai pas yang sah, kad jemputan dan akreditasi sahaja dibenarkan masuk ke stadium. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X