Jumaat, 22 September 2017 | 9:00pm
PERDANA Menteri, Najib Razak mengucapkan tahniah kepada atlet para bola keranjang negara yang merangkul pingat perak selepas tewas kepada pasukan Thailand di perlawanan akhir Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 di (MITEC, petang tadi. Turut hadir Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Foto BERNAMA

Malaysia kuasa baharu bola keranjang kerusi roda

KUALA LUMPUR: Walaupun sekali lagi gagal merangkul pingat emas, Malaysia kini dilihat sebagai kuasa baharu utama bola keranjang kerusi roda di rantau Asia Tenggara, selain Thailand.

Jurulatih kebangsaan, Abbas Aghakoucheki Hossein berkata, prestasi skuad negara meningkat berbanding aksi mereka pada temasya Sukan Para ASEAN Singapura 2015.

Beliau berkata, Malaysia harus memulakan dari sekarang mencari bakat baharu untuk menambah bilangan pemain dengan pelbagai kebolehan.

"Sebagai jurulatih profesional, saya dapati prestasi pasukan Malaysia telah meningkat, dan harus berterusan begini.

"Jika momentum ini dapat dikekalkan sehingga Sukan Para ASEAN seterusnya, Malaysia bakal mempunyai pasukan yang kuat.

"Malaysia bermain dengan baik hari ini, tetapi apa yang merisaukan saya, dalam perlawanan (menentang Thailand) kami tidak mempunyai pemain yang tinggi, pemain negara bertubuh kecil dan sederhana.

"Sudah tiba masanya untuk mencari bakat baharu dan dedahkan mereka menyertai pertandingan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan Malaysia-Thailand di sini hari ini.


Atlet bola keranjang kerusi roda ketika beraksi dalam perlawanan akhir bertemu Thailand. - Foto BERNAMA

Abbas, jurulatih yang melatih skuad Iran di Sukan Paralimpik Rio 2016, percaya Malaysia yang mempunyai lebih 30 juta penduduk, akan berjaya mencungkil atlet kurang upaya yang mahu menyertai pasukan kebangsaan.

"Jelajah semua bandar, cari bakat muda dan tubuhkan pasukan kemudian anjur pertandingan. Dengan adanya pertandingan kita dapat tingkatkan lagi prestasi," katanya.

Skuad Malaysia tewas di tangan Thailand, 56-70 dalam perlawanan penentuan pingat emas.

Dengan kemenangan itu, Thailand mengekalkan emas dalam acara berpasukan bola keranjang berkerusi roda buat kali keenam berturut-turut.

Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan Filipina merangkul gangsa selepas menewaskan Myanmar 49-41 dalam perlawanan persaingan tempat ketiga dan keempat sebelum itu.

Acara bola keranjang kerusi roda itu menggunakan format round robin. - BERNAMA

145 dibaca
Berita Harian X