Sabtu, 23 September 2017 | 3:15pm
SOW Fun ketika beraksi menentang pemain Thailand, Supalak Butgunha dan meraih gangsa dalam acara ping pong wanita SF5, Sukan Para Asean KL2017 di Mitec, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

Para KL2017: Sow Fun tak jemu wakili negara

KUALA LUMPUR: Ketika ramai wanita seusianya menghabiskan masa di rumah, Chung Sow Fun sebaliknya membuka lembaran baharu dengan memilih untuk menjadi atlet negara dan ia nyata berbaloi.

Sow Fun, 58, menjadi atlet paling berusia dalam skuad pingpong negara dan pada usianya itu dia masih lagi mampu menyumbangkan pingat gangsa SF5 (duduk normal, tangan dan lengan berfungsi) individu pada Sukan Para ASEAN 2017 di MITEC, hari ini.

Dia menegaskan bahawa andai terpilih beraksi di temasya Sukan ASEAN Manila dua tahun lagi, dia sanggup mengibarkan cabaran dan tidak pernah menjadikan usia sebagai penghalang kepadanya mewakili negara.

"Jika terpilih mengapa tidak. Saya akan tetap mewakili negara selagi mampu.

"Tambahan pula saya baru bermula dalam sukan ini selepas bersara iaitu pada usia 50 tahun.

"Jadi saya masih bersemangat untuk mewakili negara," katanya yang berpengalaman beraksi sebanyak empat kali di Sukan Para ASEAN dan yang terbaik adalah perak di Singapura.

Menceritakan permulaan kariernya, Sow Fun menjadikan pingpong sebagai aktiviti mengisi masa lapangnya selepas bersara daripada kerjaya sebagai pelukis pelan.

Mempunyai kelebihan pukulan stroke yang mantap Sow Fun antara watak penting sebagai pemain wanita dalam acara individu.

Ditanya apakah rahsianya kekal cergas sehingga kini, Sow Fun berkata dia hanya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

"Saya hanya melakukan kerja rumah seperti biasa. Memasak di rumah untuk 12 hingga 15 orang setiap hari. Itu saja yang saya lakukan selain berlatih pingpong," katanya.

Emas pingpong SF5 dimenangi atlet Indonesia Roslinda Br Manurung dan perak dimenangi pemain negara Tan Kee Chok.

Skuad pingpong negara mengakhiri cabaran di temasya kali ini dengan satu emas, dua perak, lapan gangsa.

150 dibaca
Berita Harian X