X
Selasa, 26 September 2017 | 3:11pm
ATLET bina badan negara, Sazali Samad akan mengemukakan rayuan ketiga dalam masa terdekat kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berhubung penggantungan selama empat tahun ke atas dirinya. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ATLET bina badan negara, Sazali Samad akan mengemukakan rayuan ketiga dalam masa terdekat kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berhubung penggantungan selama empat tahun ke atas dirinya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sazali akan kemuka rayuan ketiga

KUALA LUMPUR: Juara 10 kali Mr Universe, Sazali Samad akan mengemukakan rayuan ketiga dalam masa terdekat kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berhubung penggantungan selama empat tahun ke atas dirinya.

Menurut pengurus yang juga isterinya, Hashrine Hashim, rayuan berkenaan akan dilakukan pihaknya selepas Sazali selesai menjalani penggantungan selama dua tahun.

PBBM pada 22 September 2015 mengenakan penggantungan empat tahun kepada Sazali selepas gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia di Uzbekistan.

"Dia sudah menjalani separuh daripada hukuman yang dijatuhkan. Jadi kami akan mengadakan perbincangan dan mungkin akan mengemukakan rayuan minggu depan.

"Dia mematuhi semua larangan yang dikenakan terhadapnya dan tidak melanggar sebarang peraturan. Jadi saya rasa tidak mempunyai sebarang masalah untuk kami mengemukakan rayuan," katanya.

Sebelum ini PBBM sudah menolak dua rayuan yang dikemukakan Sazali iaitu pada 9 Januari dan 6 Disember 2016, sekali gus hanya dibenarkan kembali aktif selepas menamatkan penggantungan pada September 2019.

Jaguh kelahiran Johor yang kini sudah berusia 50 tahun itu meraih 10 gelaran Mr Universe bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow 2004, Ostrava (Republik Czech) 2006, Jeju (Korea Selatan) 2007, Dubai 2009, Varanasi (India) 2010, Melaka 2011, Bangkok 2012, Budaors (Hungary) 2013 dan Mumbai 2014.

Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali itu turut meraih sembilan gelaran Mr Asia iaitu pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

Berita Harian X