Isnin, 2 Oktober 2017 | 10:17am
ATLET wushu, Wong Weng Son meraih pingat emas acara jianshu (pedang) lelaki di Kejohanan Wushu Dunia di Kazan, Russia, pagi tadi.

Weng Son juara wushu dunia

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Wong Weng Son akhirnya bergelar juara wushu dunia.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu memenuhi cita-citanya apabila memenangi pingat emas acara jianshu (pedang) lelaki di Kejohanan Wushu Dunia di Kazan, Russia, pagi tadi.

Weng Son yang juga pemenang pingat emas di Piala Dunia Taolu dan Kejohanan Asia, mengumpul 9.64 mata, manakala atlet Korea Selatan, Lee Ha Sung memenangi perak dengan 9.60 mata.

Seorang lagi atlet negara, Yeap Wai Kin menamatkan saingan di tempat ketiga apabila meraih 9.53 mata.

Bagi Weng Son, gelaran dunia itu cukup bermakna kepada dirinya apabila dia sekadar meraih pingat perak dalam acara jianshu dan Qiangshu (lembing) selepas tewas kepada Wai Kin pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

"Ini adalah pencapaian mengagumkan apabila memenangi gelaran dalam kejohanan wushu paling berprestij di dunia," kata Weng Song.

Rakan sepasukan, Tan Cheong Min juga mempamerkan persembahan membanggakan dalam acara nangun (gaya selatan) wanita apabila membawa pulang gangsa dengan 9.59 mata.

Atlet China, He Jianxin memenangi acara itu dengan keseluruhan 9.62 mata, diikuti atlet Indonesia, Juwita Niza Wasni dengan 9.60 mata.

2113 dibaca
Berita Harian X