Selasa, 3 Oktober 2017 | 9:27am
IZYAN Syazana menunjukkan trofi Anugerah Wanita Cemerlang 2017 yang diterimanya bersempena Hari Wanita di Alor Setar malam tadi - Foto Noorazura Abdul Rahman

Izyan Syazana Wanita Cemerlang 2017 Kedah

ALOR SETAR: Pemain skuad bola jaring negara, Izyan Syazana Mohd Wazir dipilih menerima Anugerah Wanita Cemerlang 2017 peringkat negeri Kedah malam tadi, atas sumbangannya mengharumkan nama negara merangkul emas dalam temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Baru saja mendirikan rumah tangga empat hari lalu, Izyan, 24, menganggap anugerah itu sebagai hadiah perkahwinannya selain rasa dihargai kerana diiktiraf kerajaan negeri.

Katanya, ia menjadi pembakar semangat bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain bola jaring biarpun usianya semakin meningkat.

"Jika saya terpilih untuk bermain dengan skuad kebangsaan lagi, saya tidak akan bersara selagi mampu kerana bola jaring sudah sebati dengan diri saya sejak berusia 11 tahun.

"Saya dipilih mewakili negara pada usia 15 tahun. Selagi khidmat diperlukan, saya akan terus menabur bakti untuk negara," katanya yang berasal dari Kulim.

Ketika ditanya perancangan tahun depan, anak kelima daripada tujuh beradik ini berkata, Izyan Syazana akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menangguh latihan praktikal semester akhir bagi memberi tumpuan menghadapi sukan Asia Tenggara itu.

"Selepas saya bergelar guru sekalipun, saya tetap akan aktif dalam sukan ini. Segala pengalaman yang ada akan dicurahkan untuk pelajar saya kelak," kata pemain penyerang gol ini.

Izyan antara 30 wanita cemerlang Kedah yang menerima anugerah terbabit yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Majlis anugerah itu dianjurkan kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri malam tadi bersempena kesinambungan Hari Wanita pada Mac lalu.

Skuad kebangsaan berjaya menamatkan kemarau 16 tahun untuk meraih pingat emas buat kali kedua kejohanan berprestij Asia Tenggara itu apabila menewaskan musuh tradisi, Singapura 65-41 pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Pingat emas itu kejayaan kedua diraih skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Tracey Robinson selepas Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok, Thailand tahun lalu.

1491 dibaca
Berita Harian X