Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:23pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut serta menyertai Batik Fun Walk 2017 di Balai Seni Negara, Jalan Temerloh. - Foto Aswadi Alias

Atlet KL2017, Para Asean sertai Hari Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara Sabtu depan dijangka lebih meriah dengan penyertaan atlet kebangsaan yang mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di setiap aktiviti peringkat negeri kelahiran mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sudah meminta setiap atlet yang mewakili negara pada KL2017 dan Para ASEAN pulang ke negeri masing-masing bagi merancakkan lagi Hari Sukan yang mula dianjurkan sejak tahun 2015.

"Hari Sukan Negara akan berlangsung pada 14 Oktober ini," kata Khairy kepada media selepas acara Batik Fun Walk 2017 di Balai Seni Negara, hari ini.

"Semua negeri dan daerah akan mengadakan aktiviti dan saya sudah mengarahkan semua atlet yang terbabit dalam Sukan SEA dan Para ASEAN pulang ke negeri masing-masing bagi memeriahkan acara di peringkat negeri.

"Majlis perasmian peringkat kebangsaan akan diadakan di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada jam 11 pagi (14 Oktober) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Antara aktiviti (yang akan dianjurkan) adalah larian, kayuhan basikal, bola jaring, futsal, sukan tradisi dan aktiviti kecergasan."

Tahun lalu, penganjuran turut disertai wira dan wirawati Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 antaranya Datuk Lee Chong Wei, pemenang pingat gangsa Olimpik, Azizulhasni Awang dan jaguh pecut Paralimpik, Ridzuan Puzi.

Hari Sukan Negara yang disambut pada Sabtu kedua bulan Oktober setiap tahun bertujuan menjadikan Malaysia sebagai 'Negara Bersukan'.

419 dibaca
Berita Harian X