Isnin, 9 Oktober 2017 | 7:32pm
TIMBALAN Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar sahkan penerjun yang didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine, dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti yang disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). - Foto Osman Adnan

Penerjun bakal digantung dua tahun

KUALA LUMPUR: Penerjun negara yang gagal ujian doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu akan hanya dikenakan penggantungan maksimum dua tahun dan bukan empat tahun seperti sebelum ini.

Timbalan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar berkata, penerjun yang didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine, dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti yang disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Sibutramine disenaraikan di bawah kategori S6 oleh Kod Anti-Doping Dunia WADA yang dikuatkuasa Januari lalu.

Anabolic steroid dan EPO diletakkan di bawah S1 (ejen anabolic) dan kategori S2 (hormon peptida, faktor pertumbuhan, perangsang berkaitan dan tiruan) serta atlet yang didapati positif bakal dikenakan penggantungan mandatori selama empat tahun di bawah kod itu.

"Sibutramine bukan bahan perangsang prestasi dan ia digunakan terutama bagi mengurangkan berat badan. Alasan utama penggantungan itu dilakukan kerana ia boleh mendatangkan bahaya buat kesihatan atlet itu," kata Nishel ketika dihubungi hari ini.

"Oleh kerana ia tidak merangsang berkaitan prestasi, maka penggantungan maksimum bagi sesiapa yang didapati bersalah adalah dua tahun dan bukannya empat. "Sibutramine boleh didapati dalam kebanyakan produk penurunan berat badan dan agak mudah diperoleh. Sikap tidak ambil tahu selalunya menjadi punca mengapa atlet didapati bersalah.

"Atlet wushu, Tai Cheau Xuen juga didapati menggunakan bahan larang itu pada Sukan Asia Incheon 2014 selepas dia memenangi pingat emas. Kemenangannya bagaimanapun ditarik semula dan menerima penggantungan empat bulan."

Nishel juga mendedahkan penerjun itu masih boleh membuat rayuan penggantungan kurang daripada dua tahun tetapi mestilah mengemukakan bukti bagaimana bahan terlarang itu boleh didapati berada dalam badannya.

"Dalam kes Cheau Xuen, dia membeli makanan tambahan dari China menerusi Internet yang mengandungi sibutramine.

"Inilah masalah yang dihadapi masa ini, sebagai makanan tambahan biarpun tidak diluluskan, ia mudah dibeli menerusi dalam talian.""

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan hanya mendedahkan identiti penerjun itu selepas memperoleh keputusan sampel B.

2312 dibaca
Berita Harian X