Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:27pm
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dedahkan sampel B atlet itu akan diuji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di Delhi, India esok. - Foto Asyraf Hamzah

Keputusan sampel B penerjun hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Nasib atlet terjun negara yang gagal ujian doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan diketahui hujung minggu ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar mendedahkan sampel B atlet itu akan diuji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di Delhi, India esok.

"Hanya dua daripada tiga atlet (yang gagal ujian pada KL2017) memutuskan untuk membuat ujian sampel B," kata Tunku Imran pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, hari ini.

"Hanya atlet Malaysia yang pergi ke Delhi untuk melihat ujian sampel B dilakukan. Atlet terbabit berlepas ke Delhi hari ini.

"Keputusan itu akan diketahui dalam tempoh tiga hari lagi."

Dua atlet lain yang positif ujian doping pada KL2017 bukan dari Malaysia.

Tunku Imran berkata, kedua-dua atlet itu serta atlet yang menolak ujian semula, kemungkinan besar akan dilucutkan pingat mereka sekiranya ujian sampel B juga positif.

157 dibaca
Berita Harian X