Ahad, 15 Oktober 2017 | 6:21pm
SELEPAS berjaya meraih emas dalam acara luncur ais KL2017, Khairil Ridhwan Khalil (kiri) kini menyasarkan untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia 2018 di Bulgaria, Mac depan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Khairil idam Kejohanan Remaja Dunia

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat emas dalam acara luncur ais 3,000 meter berganti-ganti pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairil Ridhwan Khalil, 17, kini menyasarkan untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia 2018 di Bulgaria, Mac depan.

Khairil juga perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan layak kejohanan luncur ais ISU 2018 dan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Bagaimanapun, Khairil perlu bijak membahagikan masa antara latihan dan pelajarannya kerana dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

Khairil juga perlu turun menjalani latihan seperti biasa di gimnasium mahu pun di gelanggang sukan luncur ais di kompleks beli-belah IOI City Mall, Putrajaya atau Empire City Mall, Damansara, sebagai persiapan menghadapi kelayakan ke Kejohanan Remaja Dunia Melbourne, Disember ini.

"Saya harap segala usaha gigih selama ini akan membuahkan hasil sekali gus dapat memperbaiki kedudukan ranking pada Kejohanan Remaja Dunia sekali gus melayakkan diri ke kejohanan dunia tahun depan.

"Jika mahu layak ke Olimpik Musim Sejuk 2022 saya kena perbaiki kedudukan saya dalam ranking dunia dengan mendapat tempat ke-40 terbaik berbanding sekarang di posisi ke-90 dunia," katanya.

Berikutan itu, Khairil berkata, dia akan memanfaatkan wang hadiah kemenangan yang akan diperoleh selepas menang emas dalam acara 3,000m berganti-ganti di KL2017 untuk membiayai kos latihannya ke luar negara seperti di Kanada dan Korea Selatan.

"Insya-Allah saya mampu layak ke Kejohanan Remaja Dunia dan kejohanan dunia 2018 serta Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 jika gigih berlatih dan tidak mengalami kecederaan," katanya.

Berita Harian X