Khamis, 26 Oktober 2017 | 9:23pm
PENERJUN negara, Jellson Jabilin (kiri) bersama Hanis Nazirul Jaya Surya akan beraksi pada kejohanan Terjun GP KL di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - Foto Aizuddin Saad

Jellson teruja sertai GP sulung

KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara, Jellson Jabillin teruja apabila diberi kepercayaan untuk beraksi buat kali pertama pada kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur (GP KL) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Ia kejohanan besar pertama buat penerjun muda berusia 16 tahun itu selepas berjaya menyumbangkan dua pingat emas ketika temasya Sukan SEA (KL2017) yang lalu.

Tegas Jellson, dia kini sudah bersedia sepenuhnya dan tidak sabar untuk memberi aksi terbaik biarpun mengakui untuk meraih pingat emas bukan mudah.

"Emas tetap sukar kerana ramai penerjun yang hebat akan mengambil bahagian. Tapi saya akan cuba.

"Tambahan pula ia GP pertama saya dan kali pertama saya beraksi bersama mereka yang jauh lebih hebat," katanya.

Jellson diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Yang Zhuliang untuk beraksi dalam dua acara 10m platform seirama campuran bergandingan bersama juara dunia Cheong Jun Hoong manakala dalam acara 10m platform seirama bersama Hanis Nazirul Jaya Surya.

Sementara itu Zhuliang berkata, atlet negara menjalani latihan seperti biasa namun jarak masa yang singkat antara temasya Sukan SEA dan GP KL sedikit merencatkan rentak latihan apabila mereka sukar melakukan terjunan darjah kesukaran lebih tinggi.


AKSI Jellson Jabilin (kiri) bersama Hanis Nazirul Jaya Surya (kanan) pada acara 10m platform seirama lelaki Sukan SEA KL2017. - Foto Aizuddin Saad

Namun, beliau berkata, penerjun negara mampu memberi aksi lebih baik berbanding KL2017 apabila Malaysia menyapu bersih 13 pingat emas yang dipertandingkan.

Tegasnya, kehadiran penerjun handalan dari China menjadikan tahap saingan lebih sengit dan pertandingan kali ini lebih kompetitif.

Info skuad negara:

- 3m papan anjal lelaki: Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Muhammad Syafiq Puteh

- 3m papan anjal wanita: Nur Dhabitah Sabri10m platform lelaki: Chew Yiwei

- 10m platform wanita: Pandelela Rinong, Kimberly Bong

- 3m terjun seirama lelaki: Ahmad Amsyar/Ooi Tze Liang

- 10m platform seirama lelaki: Jellson Jabillin/Hanis Nazirul

- 10m platform seirama wanita: Pandelela Rinong/Leong Mun Yee

- 3m papan anjal seirama campuran: Gabriel Gillbert/Nur Dhabitah Sabri

- 10m platform seirama campuran: Jellson Jabillin/Cheong Jun Hoong, Muhd Syahmi/Leong Mun Yee

Berita Harian X