Ahad, 5 November 2017 | 11:36pm
KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah (tengah) mengakui Malaysian Tigress mempamerkan peningkatan prestasi lebih baik pada edisi kali ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah (tengah) mengakui Malaysian Tigress mempamerkan peningkatan prestasi lebih baik pada edisi kali ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Malaysian Tigress cetek pengalaman: Dhaarma

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah tetap berpuas hati dengan pencapaian barisan pemainnya yang menamatkan saingan Piala Asia di kedudukan kelima selepas menang 4-0 ke atas Thailand pada perlawanan penentuan tempat kelima-keenam di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Dhaarma berpendapat masih ada jurang antara skuad negara dengan empat pasukan utama - India, China, Korea Selatan dan Jepun - namun pada masa sama mengakui Malaysian Tigress mempamerkan peningkatan prestasi lebih baik pada edisi kali ini.

"Apa yang membezakan kami dengan empat pasukan teratas di Asia adalah mereka mempunyai pengalaman yang cukup bagus serta tidak tertekan apabila beraksi pada minit-minit akhir.

"Kami hanya menggunakan pemain sama dan tak dapat melakukan penggiliran pemain. Ia lebih menyukarkan kami apabila beraksi di sini kerana kualiti permainan amat tinggi.

"Empat pasukan yang saya maksudkan tadi juga sudah lama menguasai hoki wanita Asia dan kerap beraksi di Piala Dunia serta Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Seperti dijangka, skuad bimbingan Dhaarma Raj tidak berdepan masalah untuk menewaskan Thailand yang juga seteru utama mereka di rantau Asia Tenggara menerusi dua gol Nuraini Abdul Rashid (m-12 dan m-58), Wan Norfaiezah Md Saiuti (m-6) dan Hanis Nadiah Onn (m-45).

Penamat tempat kelima itu adalah yang keempat diraih oleh skuad negara sepanjang penyertaan di Piala Asia dengan pencapaian terbaik di tempat ketiga pada 1985.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X