Rabu, 8 November 2017 | 9:20pm
PEMAIN Golf Negara, Chan Tuck Soon harap mampu berada dalam kedudukan 15 pemain terbaik individu secara keseluruhan, lebih baik berbanding edisi sama dua tahun lalu di Abu Dhabi. - Foto Supian Ahmad

Tuck Soon harap ulangi pencapaian 2015

KAJANG: Pemain golf kebangsaan, Chan Tuck Soon mahu memastikan dirinya membantu Malaysia menamatkan saingan Piala Nomura - Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Pasifik 2017 yang bermula esok (9 November) sehingga Ahad di Sungai Long Golf & Country Club dalam kedudukan 10 terbaik.

Selaku pemain paling senior dalam kejohanan itu dan berada di ranking ketiga terbaik Malaysia, Tuck Soon berharap mampu berada dalam kedudukan 15 pemain terbaik individu secara keseluruhan, lebih baik berbanding edisi sama dua tahun lalu di Abu Dhabi.

"Ini kali kedua penyertaan saya dalam Piala Nomura.

Dua tahun lalu ketika kejohanan berlangsung di Abu Dhabi, saya menamatkan saingan dalam kedudukan 20 terbaik individu, menjadi pemain terbaik Malaysia serta membantu pasukan berada di kedudukan 10 terbaik secara keseluruhan.

"Selaku tuan rumah saya harap Malaysia mampu menyamai pencapaian dua tahun lalu (menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik).

Bagi kategori individu pula, saya cuba atasi pencapaian 2015 dengan akhiri saingan di kedudukan 15 ataupun 10 terbaik," kata pemain berusia 23 tahun itu ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, selaku pemain senior dia berharap dapat membantu tiga lagi rakan sepasukan yang diturunkan iaitu Muhammad Afif M Razif, Rhaasrikanesh Kanavathi dan Muhammad Afif M Fathi beraksi dengan baik.

Kejohanan itu membabitkan penyertaan 23 buah negara rantau Asia Pasifik antaranya Filipina, Pakistan, Nepal dan Indonesia serta Malaysia selaku tuan rumah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Nor ketika ditemui berharap kombinasi antara pemain senior dan junior dapat membantu Malaysia menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik daripada 23 negara bertanding.

Malaysia kembali menjadi tuan rumah kejohanan selepas kali terakhir penganjuran pada 1977 dan 1993 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC). Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Nomura adalah pada 1977 apabila menamatkan saingan di tempat ketiga.

41 dibaca
Berita Harian X