Isnin, 27 November 2017 | 11:25pm
MURID autisme, Daniel Hakimi Rostam menjalani latihan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, Kuantan. - Foto Zulkepli Osman
BOLA sepak mengangkat potensi Daniel Hakimi menjadi penjaga gol handalan. - Foto Zulkepli Osman

Bola sepak terapi murid autisme

KUANTAN: Bagi kanak-kanak lain bermain bola sepak adalah rekreasi biasa untuk menyihatkan badan, namun tidak bagi Daniel Hakimi Rostam, murid autisme dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, di sini.

Sukan paling popular di Malaysia itu berjaya mengubah kehidupannya yang suka menyendiri, mudah mengamuk dan kurang berkomunikasi iaitu antara gejala sering dilihat pada kanak-kanak menghidap autisme.

Malah, sukan itu juga mengangkat potensi kanak-kanak berusia 12 tahun itu sebagai penjaga gol handalan dengan membantu pasukannya, Shahzan Muda Junior FC menjuarai Kejohanan Piala Singa di Singapura, awal bulan ini, menewaskan pasukan lain dari negara-negara Asia.

Bapanya, Rostam Hassan, 37, berkata anaknya mula dikesan menghidap autisme pada usia empat tahun berikutan sikapnya yang suka menyendiri, mengamuk dan tidak boleh bercakap serta tidak memahami arahan berbanding adiknya yang berusia dua tahun.

"Saya dan isteri, Norrul Huda Md Daud, 34 tahun, membawanya ke hospital dan ketika dia disahkan menghidap autisme oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kelantan, kami tidak percaya kerana melihat fizikal anak kami yang normal.

DANIEL Hakimi ketika beraksi dalam Kejohanan Piala Singa di Singapura.

"Kami tidak mengambil sebarang inisiatif dan ia menyebabkan keadaannya semakin membimbangkan. Ketika usia sembilan tahun kami membiarkannya mengikuti abang dan rakan-rakannya bermain bola sepak bersama untuk bersosial.

"Mulanya memang sukar kerana dia sering mengamuk dan sering terasa diancam apabila berlaku sentuhan dengan orang tidak dikenali atau diusik kanak-kanak lain, tetapi Alhamdulillah keadaan semakin baik tidak lama selepas itu," katanya.

Rostam yang membuka kedai mencetak baju berkata, mereka dapat melihat potensi Daniel Hakimi dalam sukan bola sepak dan dia kemudian menyertai pasukan Shahzan Muda Junior yang bertanding dalam pelbagai pertandingan.

"Bakatnya turut dikesan pasukan dari Negeri Sembilan, Inspire Soccer Kids yang membawanya ke Festival Bola Sepak Remaja Antarabangsa di Bangkok, Thailand dan membantu mereka memenangi tempat ketiga.

"Awal November ini, dia dan pasukannya (Shahzan Muda Junior) menjadi juara Kejohanan Piala Singa. Bukan sahaja prestasi membanggakan namun dia kini mampu berdikari ketika berada di luar negara.

"Dahulu, kami kena ikut ketika dia menyertai pertandingan di luar Pahang, tetapi sekarang tidak lagi. Cuma ada sedikit keperluan perlu disediakan jurulatih. Contohnya makanan, dia tidak makan nasi sebaliknya yang berasaskan roti sahaja," katanya.

DANIEL Hakimi bersama piala yang dimilikinya.

Beliau berharap kisah anaknya itu boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa yang masih mencari kaedah untuk membantu anak-anak mereka yang menghidap autisme supaya dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.

"Mereka sebenarnya ada potensi tidak kita ketahui, seperti Daniel Hakimi dia berbakat dalam bola sepak dan boleh bermain catur serta bowling yang tidak saya perasan sebelum ini.

"Begitu juga dengan guru di sekolah. Saya harap mereka dapat beri peluang kepada pelajar di kelas pendidikan khas supaya menceburi pelbagai bidang terutama sukan," katanya.

Sementara itu, Daniel Hakimi yang kelihatan malu ketika ditemubual berkata, beliau bercita-cita menjadi penjaga gol handalan dunia pada masa depan dan menjadikan penjaga gol Manchester United, David De Gea dan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid sebagai idola.

BAPA Daniel Hakimi, Rostam Hassan. - Foto Zulkepli Osman

INFO

  • Daniel mula dikesan menghidap autisme pada usia empat tahun.
  • Menjadi penjaga gol Shahzan Muda Junior FC dan membantu pasukannya menjuarai Kejohanan Piala Singa di Singapura.
  • Menjadikan penjaga gol Manchester United, David De Gea dan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid sebagai idola.

Berita Harian X