Jumaat, 15 Disember 2017 | 9:28pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim beramah mesra dengan atlit gimrama Perak ketika berangkat di Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak dan Program Satu Pokok Sukan Sea dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Bulatan Aman Jaya Meru. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin sampaikan insentif kemenangan atlet

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak serta menghadiri Program Satu Pingat, Satu Pokok Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Bulatan Meru Amanjaya pagi ini.

Seramai 57 atlet Perak yang mewakili negara pada kedua-dua temasya itu diraikan pada majlis berkenaan.

Selain menyampaikan insentif, Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan sebahagian atlet menanam anak pokok di pekarangan bulatan itu.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan; Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk S Thangasvari; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Sementara itu, Shahrul Zaman ketika berucap pada majlis itu berkata, program Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak itu dicetuskan sendiri ideanya oleh Sultan Nazrin.

Beliau percaya ia mampu menjadi menjadi suntikan semangat dan faktor motivasi kepada atlet serta pelatih kontinjen negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di bawah program Kita Juara 2018 dan Program Podium Perak (P3).

"Semoga visi, misi dan objektif kita untuk menjadi juara SUKMA tahun hadapan akan menjadi kenyataan," katanya.

"Daripada 57 atlet Perak yang menerima insentif hari ini, seramai 21 atlet adalah penyumbang pingat emas, sembilan perak dan sembilan gangsa pada Sukan SEA yang lalu," katanya.

Selain itu, katanya, seramai 23 atlet Sukan Para ASEAN turut diraikan dan daripada jumlah berkenaan, 11 atlet adalah penyumbang emas, tujuh perak dan sembilan lagi gangsa.

"Kesemua kejayaan ini jelas menunjukkan negeri Perak dari dahulu hingga kini berupaya dan akan terus melahirkan atlet bertaraf dunia," katanya.

141 dibaca
Berita Harian X