Isnin, 18 Disember 2017 | 1:03pm
MASA depan Tracey Robinson selaku jurulatih bola jaring kebangsaan masih menjadi tanda tanya.

Masa depan Tracey di tangan MSN

KUALA LUMPUR: Masa depan Tracey Robinson selaku jurulatih kebangsaan masih belum pasti selepas Persatuan Bola Jaring Malaysia (MNA) menyerahkan keputusan berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukannya.

Presiden MNA, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihak persatuan sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan jurulatih dari Australia namun sama ada Tracey kekal selaku jurulatih ataupun tidak, ia hanya akan berdasarkan budi bicara MSN.

"Kami sudah memulakan perbincangan bersama MSN untuk memohon seorang jurulatih Australia. Siapa jurulatih berkenaan, itu terpulang kepada MSN," kata Suraya ketika diminta mengulas mengenai masa depan Tracey - jurulatih yang membawa skuad negara meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu.

Dalam pada itu, Suraya berkata, pihak persatuan ketika ini sedang mengumpul pemain sebelum Januari tatkala senarai skuad penuh hanya akan membabitkan 30 hingga 40 pemain saja.

"Kami akan menganjurkan Kejohanan Kebangsaan dari 19 hingga 22 Disember ini dan kami sudah mula menghantar surat untuk menyertai skuad.

"Kami tidak mempunyai pasukan penuh lagi tetapi kami akan memanggil mereka nanti dan memuktamadkannya pada Februari, ia adalah masa sesuai apatah lagi kami juga akan menyertai kejohanan Jemputan Malaysia tahun depan yang mungkin berlangsung pada Mac."

Tumpuan utama skuad senior tahun depan pastinya Kejohanan Asia di Singapura pada September yang turut menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia 2019 di Liverpool, United Kingdom.

797 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »