Rabu, 20 Disember 2017 | 8:00pm
PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin ketika memberi taklimat program Penyediaan Atlet ke Arah Sukan SEA 2019 di Auditarium Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi

96 emas sasaran awal di Filipina 2019

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran awal sekurang-kurangnya 96 pingat emas perlu dimenangi kontinjen negara apabila bertanding pada Sukan SEA di Filipina 2019.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin menyifatkan sasaran itu diyakini mampu membantu menentukan hala tuju program latihan seperti dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan selaku juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Seperti kita lakukan pada 2015 apabila kita memulakan program Kita Juara, kita sudah meletakkan sasaran awal kepada semua persatuan agar dapat mengetahui arah program latihan yang akan dilakukan.

Melalui sasaran itu, kita berjaya melepasi sasaran ditetapkan dengan kejayaan cemerlang pada 2017.

"Untuk itu, proses sama akan kita lakukan untuk program Sukan SEA 2019, kita memberikan sasaran awal dengan mengandaikan 93 hingga 96 pingat emas boleh dimenangi berdasarkan kepada jenis sukan yang akan dipertandingkan di peringkat awal," katanya selepas taklimat Program Penyediaan Atlet ke Arah Temasya Sukan SEA 2019, hari ini.

Mengulas lanjut, Jefri berkata sekiranya jumlah itu mampu dikutip, kontinjen negara mampu berada dalam kelompok tiga terbaik daripada kalangan negara yang bertanding.

Mengupas secara terperinci mengenai taklimat itu, Jefri menjelaskan kumpulan atlet yang bakal menjadi tunjang kepada program berkenaan dijadual dipilih pada 12 Januari ini dengan anggaran 300 atlet akan dipilih termasuklah 210 orang yang sudah dipilih, November lalu.

"Atlet ini akan dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dengan sekurang-kurangnya memenangi pingat perak di KL2017. Daripada senarai yang dikenal pasti, persatuan sudah meminta atlet dinamakan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan di Sukan SEA lalu," katanya.

68 dibaca
Berita Harian X