Rabu, 20 Disember 2017 | 8:29pm
PEMAIN berpengalaman, Nur Syafazliyana Mohd Ali puji usaha PBJM cari jurulatih asing bimbing skuad negara. - Foto Supian Ahmad

Persiapan luar biasa pertahan kejuaraan Asia

KUALA LUMPUR: Pemain berpengalaman, Nur Syafazliyana Mohd Ali menyokong usaha Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) mendapatkan jurulatih asing bagi membimbing skuad negara.

Dia yang mula mewakili negara sejak 2009, berkata misi utama mereka adalah bagi mempertahankan gelaran di Kejohanan Asia di Singapura, September tahun depan.

"Sebenarnya terpulang kepada persatuan namun sebagai contoh, apabila melantik jurulatih asing seperti dilakukan ketika Sukan SEA lalu, kami mempelajari banyak kemahiran baru sekali gus mengubah corak permainan," jelas pemain berusia 24 tahun itu.

PBJM sebelum ini mendapatkan kepakaran jurulatih dari Australia, Tracey Robinson untuk menamatkan kemarau 16 tahun bagi meraih emas Sukan SEA Ogos lalu.

"Persiapan perlu luar biasa bagi mempertahankan kejuaraan kerana kejohanan peringkat Asia ini akan berlangsung di Singapura. Mereka pasti akan menggunakan semua kelebihan yang ada, seperti gelanggang dan penyokong," katanya yang membantu pasukan negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA lalu.

Sekiranya mampu mempertahankan kejuaraan, Malaysia akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia di Liverpool pada 2019.

Dia yang beraksi mewakili Kuala Lumpur di Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-39, turut gembira apabila melihat terdapat bakat baru berpotensi untuk diketengahkan.

tamat.

246 dibaca
Berita Harian X