Jumaat, 22 Disember 2017 | 6:16pm
ATLET Malaysia, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri kini terarah untuk melayakkan diri beraksi di temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Palembang-Jakarta pada Ogos tahun depan. - Foto Rosli Rahmat

Nabila pasang impian ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Memiliki susuk tubuh yang kecil bukan penghalang buat pelayar negara, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri menyumbangkan emas dalam acara optimis berpasukan ketika beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang lalu.

Nabila yang bergandingan bersama pelayar muda Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Nurul Shazwanie Mohd Saad menewaskan pasukan Thailand 2-1 dalam pertandingan akhir.

Tumpuan atlet berusia 15 tahun itu kini terarah untuk melayakkan diri beraksi di temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Palembang-Jakarta pada Ogos tahun depan dan akan bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.

"Selepas kejayaan di KL2017, sasaran selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Asia dan Kejohanan Pelayaran Asia tahun depan.

"Bagaimanapun saya mungkin akan bertukar kepada acara laser 4.7 dan jika boleh saya mahu menghadiahkan pingat buat negara," katanya.

Ditanya cabaran sebenar dihadapi skuad pelayaran negara menyumbangkan pingat di Sukan Asia, Nabila berkata ia bukan sesuatu yang mustahil dicapai namun mengakui cabaran di Sukan Asia sememangnya amat sengit.

Pada temasya KL2017, skuad pelayaran negara berjaya menyumbangkan enam emas dan berjaya memperbaiki pencapaian ketika Sukan SEA Singapura.

Emas yang diraih skuad negara menerusi acara laser radial, optimis bawah 16, 420 (bawah 19), 470 optimis (bawah 16) dan optimis bawah 16 wanita dan berpasukan campuran.

110 dibaca
Berita Harian X