Isnin, 25 Disember 2017 | 7:42pm
PRESIDEN Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Datuk Suraya Yaacob (tengah) bergambar bersama pemain bola jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara.

PBJM idam sentuhan jurulatih Australia

KUALA LUMPUR: "Kita bukan kekurangan jurulatih tempatan, tetapi keputusan sudah dibuat dan dipersetujui pada peringkat Exco persatuan,".

Itu kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Datuk Shahaniza Shamsuddin mengenai hasrat persatuan itu mendapatkan jurulatih profesional dari Australia bagi merealisasikan impian layak ke Piala Dunia pada 2019.

"Persatuan terutama presiden (Datuk Suraya Yaacob) selain Exco sedang mengenal pasti calon sesuai yang boleh dipilih selaku jurulatih.

"Tapi kami tidak menolak kemungkinan melantik kepakaran asing selaku perunding, tetapi sekali lagi ia hanya akan diputuskan oleh barisan Exco," katanya.

Ketika ini, persatuan itu sedang menilai jurulatih berwibawa yang boleh memimpin pasukan memburu kejayaan pada Kejohanan Asia di Singapura pada September depan yang akan digunakan sebagai pentas kelayakan ke Piala Dunia.

Sebelum ini, Tracey Robinson mengetuai pasukan kebangsaan dan menamatkan penantian 16 tahun untuk pingat emas di pentas rantau Asia Tenggara apabila muncul juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu.

Bekas pemain bola jaring profesional Australia itu keluar masuk bersama pasukan sejak dua tahun lalu kerana dia juga terbabit selaku perunding serta jurulatih.

Sebelum ini, Suraya juga pernah menyuarakan hasrat persatuan itu mendapatkan jurulatih antarabangsa dan ia akan ditentukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kami akan melihat siapa paling layak (untuk tugas berkenaan). Kami mahukan yang terbaik. Kami mahukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan, " kata Shahaniza.

Sementara itu, Shahaniza mengakui beliau melihat banyak potensi bakat baharu ketika Kejohanan Kebangsaan dekat Stadium Juara, Bukit Kiara.

"Kami akan melihat kembali. Kami mahukan pemain terbaik tetapi saya melihat ramai bakat baharu yang boleh diberi peluang mewakili negara.

"Mereka akan diberi peluang jika terpilih ke kem latihan kebangsaan (pada Januari tahun depan)," katanya.

302 dibaca
Berita Harian X