Isnin, 1 Januari 2018 | 6:57pm

Cabaran 2018 lebih getir

KUALA LUMPUR: Selepas melalui musim 2017 yang penuh dengan pelbagai suka dan duka termasuk kejayaan muncul juara keseluruhan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), atlet negara bakal kembali ke gelanggang untuk mengharungi jadual padat sepanjang tahun ini.

Sudah tentu dua temasya besar - Sukan Komanwel dan Sukan Asia - akan menjadi tumpuan utama mereka untuk mengukir nama dan memburu kegemilangan sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Malah, kedua-dua temasya itu akan menguji sejauh mana keberkesanan dan kejayaan Program Podium yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN).

Apapun, skuad bawah 23 (B-23) negara akan memulakan kempen apabila dijadualkan beraksi dalam Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari ini.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee yang layak secara automatik buat kali pertama di kejohanan itu, akan berdepan Iraq, Jordan serta Arab Saudi dalam aksi Kumpulan C sekali gus menyaksikan cabaran berliku yang bakal dilalui oleh mereka.

Menyusul selepas itu kontinjen negara akan beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April.

Kecemerlangan di Sukan Olimpik Rio 2016 seharusnya menjadi penanda aras terbaik untuk skuad negara pada edisi Sukan Komanwel kali ini sekali gus cuba mengatasi pencapaian kurang memberangsangkan empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Ketika itu Malaysia sekadar meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa dengan Kuala Lumpur 1998 masih kekal sebagai pencapaian terbaik kontinjen negara yang meraih 10 emas, 14 perak serta 12 gangsa.

Selang sebulan selepas itu, skuad badminton negara pula akan mengharungi saingan berpasukan paling berprestij di dunia, Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun harus diingat, skuad negara hanya akan beraksi pada pusingan akhir piala berprestij itu sekiranya layak menerusi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia di Alor Setar, Kedah, Februari ini.

Jika tidak, ia pasti satu malapetaka untuk arena badminton tempatan kerana belum pernah skuad negara gagal beraksi di Piala Thomas.

Kontinjen negara sekali lagi akan turun pada temasya Sukan Asia di di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September yang menjadi medan terbaik untuk bersaing dengan barisan atlet dari negara Asia lain.

Menerusi persiapan rapi di bawah Program Podium, kontinjen negara seharusnya mampu mengatasi pencapaian empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan apabila meraih 14 emas, 5 perak dan 14 gangsa.

Skuad hoki negara bakal menutup kalendar saingan tahun ini apabila beraksi dalam Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada Disember selepas melalui musim gemilang dengan pelbagai kejayaan pada tahun lalu.

___________________________________________________________________________

INFO

Senarai kejohanan 2018

Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Jiangsu, China - 9 hingga 27 Januari

Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia - 4 hingga 15 April

Piala Thomas di Bangkok, Thailand - 20 hingga 27 Mei

Sukan Asia di di Jakarta & Palembang - 18 Ogos hingga 2 September

Piala Dunia Hoki di India - 28 November hingga 16 Disember

Bola sepak Piala AFF - 8 November hingga 15 Disember

187 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »