Isnin, 1 Januari 2018 | 7:27pm
ATLET lumba basikal, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi puas hati dengan pencapaian sepanjang tahun lalu selepas menarik balik keputusan bersara. - Foto Osman Adnan

Pusingan U Fauzan berbaloi

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi berpuas hati dengan pencapaian sepanjang tahun lalu selepas menarik balik keputusan bersara.

Gandingannya bersama pelumba muda negara menyumbang emas dalam acara ujian masa berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu walaupun tidak diletakkan harapan tinggi untuk muncul juara.

Malah anggota polis berkenaan cemerlang di Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Dunia 2017 apabila meraih dua emas dan perak menerusi acara ujian masa individu.

"Memang saya puas hati dengan prestasi tahun lalu. Saya pernah mengumumkan untuk bersara bagi memberi peluang kepada muka baharu bagi mewakili negara di Sukan SEA.

"Namun, keputusan saya mengubah fikiran nyata membuahkan hasil apabila melakar kejutan meraih emas," jelas pelumba berusia 31 tahun itu.

Malah prestasi cemerlang itu membakar semangat Fauzan untuk terus mewakili negara tahun ini.

"Terdapat beberapa kejohanan besar, jadi saya fikir masih bertenaga dan berkemampuan untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara.

"Sasaran utama mengintai peluang beraksi di Sukan Asia, namun saya turut mahu beraksi di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Myanmar, Februari nanti," tambahnya.

410 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »