Selasa, 2 Januari 2018 | 10:05pm
ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah disenarai pemain kedua terbaik acara tricks dan juga kelima keseluruhan dalam ranking dunia bawah 17 tahun dunia. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Aaliyah duduki ranking dua dunia tricks bawah 17

KUALA LUMPUR: Tahun baru 2018 membuka sinar baru buat atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah apabila disenaraikan sebagai pemain kedua terbaik acara tricks dan juga kelima keseluruhan dalam ranking dunia bawah 17 tahun dunia.

Ketua jurulatih negara, Hanifah Yoong Yin Fah berkata, buat julung kalinya atlet negara memperoleh kedudukan sedemikian dengan sebelum ini atlet yang berumur 14 tahun itu berada di ranking lima dunia dalam acara tricks dan temnpat ke-12 keseluruhan.

"Fokus Aaliyah pada tahun ini adalah persediaan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia Bawah 17 Tahun pada Ogos ini di Madrid, Sepanyol yang mana adalah penyertaan kali keempat sejak penampilan sulungnya pada tahun 2012 ketika umur masih sembilan tahun.

"Kali ini, kami melihat Aaliyah mempunyai peluang untuk berada di podium dalam acara tricks dan juga keseluruhan. Harapan kami dia dapat memenangi satu daripada dua acara itu tetapi kalau boleh dua-dua acara," katanya di sini hari ini.

Hanifah berkata untuk perancangan jangka masa panjang pula Aaliyah sudah diletakkan sasaran untuk memenangi gelaran di kejohanan itu pada edisi 2020 di Florida di mana dia bakal melakukan penampilan terakhir di kejohanan itu.

Sementara itu, dua lagi atlet ski air negara, Adam Yoong Hanifah, 10, dan juga Aideen Yoong Hanifah, 12, juga buat kali pertamanya menempatkan diri dalam 50 kelompok terbaik dunia bawah 17 tahun.

Hanifah berkata Adam berada di ranking 41 dunia sementara Aideen di rangking 47 dunia.

"Bagi kategori lelaki, saingan adalah lebih sengit. Pencapaian mereka berdua di kelompok 50 bawah 17 tahun dunia ini juga satu pencapaian yang baik untuk atlet negara," katanya.

Katanya, Adam dan Aideen juga buat julung kalinya akan menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Madrid sebagai pendedahan kepada mereka.

Berita Harian X