Khamis, 11 Januari 2018 | 12:42am
AIRA Azman (kiri) dan kakaknya, Aifa Azman menunjukkan sijil dan replika cek yang diterima dari Menteri Besar Kedah selepas menjuarai kategori bawah 15 dan 17 dalam kejohanan Terbuka Remaja British (BJO) 2018. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Aifa sasar terbaik dunia 2023

ALOR SETAR: Jaguh skuasy remaja negara, Aifa Azman yang baharu menjuarai Terbuka Remaja British (BJO) 2018 di Birmingham, Ahad lalu meletakkan sasaran muncul pemain terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran itu diletakkan jaguh kelahiran Kedah itu berdasarkan momentum prestasi beliau yang kini berada di kedudukan 105 ranking dunia.

"Saya berazam untuk berada dalam kedudukan 70 ranking dunia pada hujung tahun ini dan dalam tempoh lima tahun lagi, saya mahu menjadi pemain terbaik dunia.

"Bagaimanapun untuk masa terdekat ini, saya akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan berlangsung di Perak September depan," katanya ketika ditemui sempena Majlis Penghargaan Atlet Skuasy di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (lima kanan) bergambar dengan pemain skuasy K.Sehveetrra (duduk kanan), Aira Azman, Aifa Azman, S.Sivasangsari selepas menyerahkan sijil dan replika cek kepada mereka atas kejayaan merangkul empat gelaran pada kejohanan Terbuka Remaja Britain (BJO) 2018 di Birmingham, England. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Pada majlis itu Aifa, 17, bersama adiknya, Aira Azman, 15 dan dua lagi jaguh skuasy yang mengharumkan nama negara selepas menjuarai BJO 2018 iaitu K Sehveetrra dan S Sivasangsari, masing-masing menerima insentif RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Selain empat atlet itu, insentif RM500 turut diberikan kepada jurulatih skuasy Kedah, Cheong Pak Kau, yang semuanya disampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sementara itu, Aira ketika ditemui turut memasang cita-cita bersama kakaknya untuk menjadi antara pemain terbaik dunia suatu hari nanti.

"Kalau Aifa menjadi pemain nombor satu dunia, saya mahu jadi antara lima terbaik dunia...saya yakin dapat bersama-sama Aifa setelah kami didedahkan dengan sukan ini sejak kecil.

"Dengan pembinaan Kompleks Skuasy di Jalan Suka Menanti, di sini, nanti kami akan lebih selesa untuk berlatih dan seterusnya membantu kami memberikan persembahan terbaik untuk negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata insentif kepada atlet dan jurulatih skuasy itu sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada pemain terbabit yang mengharumkan nama negara khususnya Kedah.

"Kejayaan mereka sangat bermakna untuk Kedah dan insentif ini diharap dapat menjadi sebagai pembakar semangat untuk mereka terus mencipta kejayaan demi kejayaan di masa depan.

"Dalam masa yang sama kerajaan negeri yakin akan dapat melahirkan lebih ramai atlet sukan skuasy yang bakal mengharumkan nama di peringkat dunia, selepas Kompleks Skuasy bertaraf antarabangsa bernilai RM7.8 juta siap dibina pada awal 2019," katanya.

Berita Harian X