Ahad, 28 Januari 2018 | 12:09am
PENGERUSI SIC, Tan Sri Azman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah Sukan Pemotoran SIC-MAM 2017 di Hotel Sama-Sam, Sepang. - Foto Asyraf Hamzah

Hafizh, Afiq ungguli Anugerah SHELL-SIC-MAM 2017

SEPANG: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan pemandu Siri Le Mans Asia, Afiq Ikhwan Yazid masing-masing mengungguli anugerah utama pada malam Anugerah Shell SIC-MAM 2017, malam tadi.

Hafizh yang berjaya melakar dua penamat di pentas podium tahun lalu memenangi anugerah Pelumba Terbaik dan Pilihan Ramai.

Pelumba berusia 23 tahun itu turut melakar sejarah tersendiri dengan namanya bakal berada di Dewan Kemashyuran bersama-sama Hanifah Yoong dan Oh Kah Beng.

Bagaimanapun, Hafizh tidak dapat berada pada malam bersejarah itu kerana sedang menjalani latihan intensif di Sepanyol bersama-sama pelumba Moto3, Adam Norrodin.

PENGERUSI Shell Malaysia, Datuk Iain Lo menyampaikan Anugerah Shell International Driver of The Year kepada Afiq Ikhwan (kanan) pada majlis Anugerah Sukan Pemotoran SIC-MAM 2017 di Hotel Sama-Sam, Sepang. - Foto Asyraf Hamzah

JURUFOTO Eksekutif NSTP, Osman Adnan menerima Anugerah Media Jurufoto Terbaik SIC-MAM 2017 pada majlis Anugerah Sukan Pemotoran SIC-MAM 2017 di Hotel Sama-Sam, Sepang. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Sementara itu, Afiq yang bersama Jazeman Jaafar dan Weiron Tan dalam pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota #7 memenangi anugerah Pemandu Terbaik.

"Terima kasih atas pemilihan ini," kata Afiq.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini. Saya juga bersyukur kerana peluang diberikan SIC ini (menyertai pasukan DC Racing)."

Sementara itu, jurugambar NSTP, Osman Adnan meraih anugerah Jurukamera Terbaik, membawa pulang seutas jam tangan BRM bernilai RM25,000 dan trofi.

Kejayaan itu secara tidak langsung meneruskan legasi pada penganjuran sulung tahun lalu selepas wartawan Harian Metro, Saiful Affendi Sapran memenangi anugerah Laporan Media Cetak Terbaik.

__________________________________________________________________________________

INFO:

SENARAI PEMENANG

Pemandu Terbaik: Afiq Ikhwan Yazid

Pelumba Terbaik: Hafizh Syahrin Abdullah

Laporan Terbaik Media Cetak: Riduan Hanafiah

Jurukamera Terbaik: Osman Adnan - NSTP

Laporan Terbaik Media Eletronik: Adam Abdul Karim Zamri & Mohd Irsyahdi Tumian (Astro Arena)

Pasukan Terbaik (dua roda): HKM Timesbike Racing

Pasukan Terbaik (Empat Roda): R Engineering

Pemandu Paling Meningkat: Nazim Azman

Pelumba Paling Meningkat: Adam Norrodin

Pemandu Terbaik Kebangsaan: Mitchell Cheah

Pelumba Terbaik Kebangsaan: Mohd Aiman Tahiruddin

Anuegarah Pembangunan Sukan Permotoran KBS: Nabil Jeffri

Anugerah Pilihan Ramai: Hafizh Syahrin Abdullah

Dewan Kemashyuran

1) Hanifah Yoong

2) Oh Kah Beng

3) Hafizh Syahrin

Berita Harian X