Ahad, 28 Januari 2018 | 7:04pm
PENEMBAK PDRM, Abdul Malek tidak akan menolak tawaran sekiranya dipanggil sertai skuad kebangsaan.

Malek tak akan tolak tuah

KUALA LUMPUR: Penembak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Abdul Malek Abd Hadi tidak akan menolak tawaran sekiranya dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan.

Pada hari terakhir Kejohanan Menembak Selangor hari ini, bekas penembak kebangsaan itu meraih pingat emas acara 50 meter pistol lelaki dengan mencatat 220 mata, mengatasi penembak Negeri Sembilan, Wafiq Mohamad Zin (217.1) dan juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Jonathan Wong (192).

Abdul Malek yang meninggalkan skuad kebangsaan pada 2016 bagi memberi tumpuan terhadap kariernya, percaya dia masih boleh menyumbang kepada skuad kebangsaan terutama selepas beraksi baik pada 2017 dengan meraih tiga kedudukan podium kejohanan tempatan.

"Saya percaya masih boleh melakukannya, terutama selepas mengambil cuti rehat bagi memberi tumpuan kepada karier saya. Saya meninggalkan pasukan kebangsaan pada 2016 dan sejak itu tidak menjalani latihan secara konsisten.

"Bagaimanapun, selepas menimba pengalaman bekerja, saya kembali menyertai kejohanan tahun lalu dan melakukannya dengan baik. Kriteria ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pemilihan ialah sekurang-kurangnya tiga kedudukan podium.

"Berdasarkan kemenangan terbaru ini, saya sudah ada empat podium. Saya sepatutnya tahu jika terpilih pada awal bulan depan dan jika saya mendapat tawaran, saya akan memikirkannya. Saya tidak akan menolak tawaran itu," kata Abdul Malek.

Ditanya sama ada dia berharap layak beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, April depan, Abdul Malek berkata: "Saya rasa tidak. Jika saya terpilih untuk kembali ke skuad kebangsaan, ia sepatutnya untuk tahun depan."

Sementara itu, dalam acara 10m air rifle wanita, Nur Suryani Mohd Taibi meraih emas buat PDRM apabila mengumpul 248.1 mata menewaskan wakil Perak, Nur Fatin Syairah Abdul Lathif (245.2) dan peserta Selangor, Shahera Raja Rahim (219.8).

Selepas empat hari kejohanan di lapangan Persatuan Menembak Selangor dekat Subang, ATM menamatkan saingan selaku juara dengan meraih enam emas diikuti PDRM (5) dan Pahang (4).

125 dibaca
Berita Harian X