Sabtu, 24 March 2018 | 12:16pm
GIMNAS berpengalaman Farah Ann mampu lakar kejutan. - FOTO FAIL

Peluang terbaik Farah, rakan cipta kejutan

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik artistik wanita negara mengintai peluang untuk melakar kejutan dengan meraih sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia yang bermula 4 hingga 15 April ini. 

Jurulatih skuad wanita negara, Ng Shu Wai, berkata biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat pada temasya kedua terbesar dunia itu, namun menegaskan peluang anak buahnya melakar kejutan tetap ada sekiranya apa yang dirancang berjalan dengan baik. 

Bagaimanapun, dia mahu atlet yang akan beraksi nanti fokus untuk melayakkan diri ke pentas final terlebih dahulu. 

"Dalam gimnastik apa saja boleh berlaku. Biarpun anda juara dunia tidak semestinya anda akan meraih emas. Jika terjatuh semua akan berubah. Peluang untuk pingat mungkin hanya dapat diketahui jika layak ke final. 

"Tapi saya yakin mereka mampu untuk melakukan sesuatu kerana prestasi mereka berbanding empat tahun lalu sudah meningkat," katanya. 

Di Gold Coast, Malaysia mempertaruhkan barisan pemenang emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang diketuai gimnas berpengalaman Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh, Tracie Ang dan Nur Azira Aziri. 

Pada edisi empat tahun lalu di Glasgow, skuad wanita negara menduduki tempat kelapan dalam acara berpasukan, manakala Farah menamatkan saingan individu keseluruhan di tangga ke-11. 

Bagaimanapun, kejayaan Tracie dan Ing Yueh meraih emas ketika Piala Dunia di Ljubljana, Slovenia 2016 memberi sinar buat skuad gimnastik artistik wanita negara. 

alam kategori lelaki, skuad negara mempertaruhkan kepercayaan di atas bahu Jeremiah Loo Phay Xing dan Tan Fu Jie. 

Sementara itu, skuad gimnastik berirama meletakkan sasaran satu emas dengan Amy Kwan Dict menjadi pertaruhan terbaik. 

Amy yang menyumbang  gangsa ketika di Glasgow dan dua emas pada KL2017, Ogos tahun lalu berkata, dia hadir ke Gold Coast dengan satu sasaran iaitu merealisasikan impian skuad negara membawa pulang satu emas dalam acara berpasukan selain memperbaiki pencapaian peribadi empat tahun lalu.   

"Saya kembali kali ini dengan lebih kuat dan berharap dapat memperbaiki pencapaian empat tahun lalu. Malah, saya harap dapat beraksi dengan sempurna di atas permaidani dan apa yang penting buat yang terbaik dan keputusan akan datang kemudian," katanya. 

Skuad negara meletakkan sasaran satu emas dalam acara berpasukan yang dibarisi Amy, Koi Sei Yan dan Izzah Amzan dengan mereka akan beraksi dalam kesemua acara iaitu berpasukan dan individu - bola, gelung, belantan dan riben.   

Empat tahun lalu, skuad gimnastik berirama membawa pulang satu perak dan dua gangsa. 

Info

Gimnastik

Tarikh: 5 hingga 9 April

Gelanggang: Pusat Sukan Tertutup Coomera

Jumlah atlet: 9

Pencapaian 2014: 1 perak, 2 gangsa

Sasaran: 1 emas

Senarai atlet:

Gimnastik artistik lelaki: Jeremiah Loo Phay Xing (individu dan berpasukan) Tan Fu Jie (individu dan berpasukan)

Gimnastik artistik wanita: Farah Ann Abdul Hadi (individu dan berpasukan) Tan Ing Yueh (individu dan berpasukan) Tracie Ang (individu dan berpasukan) Nur Azira Azizi (individu dan berpasukan)

Gimnastik berirama: Koi Sie Yan (individu dan berpasukan) Amy Kwan Dict Weng (individu dan berpasukan) Izzah Amzan (individu dan berpasukan)

Berita Harian X