Sabtu, 24 March 2018 | 5:27pm
AZIRA ketika sesi latihan di Dewan Gimnastik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bagi persediaan sebelum berlepas ke Gold Coast Australia. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
AZIRA ketika sesi latihan di Dewan Gimnastik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bagi persediaan sebelum berlepas ke Gold Coast Australia. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI

Azira gementar, teruja ke Komanwel

KUALA LUMPUR: Gimnas negara Nur Azira Aziri mengakui gementar dan pada masa yang sama teruja untuk beraksi buat pertama kali di pentas temasya Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.

Terpilih mewakili negara bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Nur Elli Elina Azmi, Azira bagaimanapun tetap bersyukur kerana terpilih mewakili negara tatkala ramai lagi rakan-rakannya yang mengimpikan untuk ke temasya berkenaan.

Justeru atlet kelahiran Selangor berusia 19 tahun itu bertekad untuk membantu pasukannya mara sejauh yang mungkin selain cuba untuk menghadiahkan pingat.

"Pertama kali ke Komanwel saya berasa sedikit gementar kerana tidak pernah beraksi di pertandingan besar yang mempunyai ramai atlet yang handal," kata Azira.

"Namun sokongan daripada rakan senior yang banyak membantu saya meredakan sedikit tekanan yang dihadapi. Jujur saya katakan saya sangat terkejut selepas dimaklumkan terpilih ke Komanwel.

"Saya harap saya dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan dan negara."

Aksi konsisten Azira terutama dalam acara kegemarannya palang bertingkat turut membantu pasukan gimnastik artistik negara merangkul emas di Sukan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Selain Azira skuad gimnastik artistik wanita negara akan dibarisi Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang. Manakala skuad lelaki akan diwakili Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie.

Empat tahun lalu di Glasgow, skuad wanita negara menduduki tempat kelapan dalam acara berpasukan, manakala Farah menamatkan saingan individu keseluruhan di tangga ke-11.

Bagaimanapun kejayaan Tracie dan Ing Yueg meraih emas ketika Piala Dunia di Ljubljana, Slovenia 2016 memberi sinar buat skuad gimnastik artistik wanita negara.

Ng Shu Wai menjadi atlet terakhir dalam acara gimnastik artistik yang meraih pingat di temasya berkenaan apabila menyumbangkan perak pada Komanwel 2006 di Melbourne.

 

 

 

Berita Harian X