Rabu, 28 March 2018 | 9:51pm
ATLET gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi sudah buat persediaan rapi sejak daripada awal tahun lagi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Farah lebih matang, fokus di Komanwel

 

KUALA LUMPUR: Ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi kali ini tampil lebih matang pada penampilan ketiganya di temasya Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia tahun ini. 

Farah bersama barisan atlet gimnastik artistik negara akan berlepas ke Australia esok berkata, dia sudah membuat persediaan rapi sejak daripada awal tahun lagi.

Tidak lagi terikat dengan komitmen pelajaran, Farah menyifatkan 2018 adalah tahun yang penting bagi dirinya justeru dia mahu memberi 100 peratus fokus kepada latihan dan pertandingan. 

"Kali ini saya lebih bersedia. Lebih matang dan sudah tahu siapakah lawan yang akan saya tentang," kata Farah yang mula menyertai temasya itu pada usia 16 tahun.

"Penyertaan pertama saya di New Delhi, India ketika berusia 16 tahun dan ketika itu saya terlalu muda. Penampilan kedua di Glasgow pula saya lebih kepada mencari keyakinan dan kali ini saya lebih matang dan lebih bersedia. 

"Saya tahu siapa lawan saya kerana sudah banyak kali bertanding bersama, jadi saya harap pengalaman mampu untuk membawa saya merealisasikan impian untuk mara ke pentas final dalam acara individu." 

Menurutnya, sejak awal tahun lagi dia memberi tumpuan kepada latihan pagi dan petang bagi memastikan rutin yang dilakukan lebih mantap. 

"Konsisten adalah kunci utama untuk mengoptimumkan keyakinan diri. Saya tahu saya boleh lakukan yang lebih baik dari Sukan SEA tempoh hari. 

"Jika boleh kali ini saya mahu layak ke final dalam acara kegemaran saya iaitu palang bertingkat dan senaman lantai," katanya.  

Skuad gimnastik artistik wanita negara kali ini menampilkan Farah, Tan Ing Yueh, Tracie Ang dan Nur Azira Aziri manakala skuad lelaki diwakili Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie. 

Empat tahun lalu di Glasgow skuad wanita negara menduduki tempat kelapan dalam acara berpasukan, manakala Farah menamatkan saingan individu keseluruhan di tangga ke-11.

Berita Harian X