Jumaat, 30 March 2018 | 10:06pm
SKUAD hoki wanita negara jalani latihan sebelum Sukan Komanwel bermula. -Foto Facebook MHC

Amirah mahu 'lepas geram' di Gold Coast

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad hoki wanita negara, Nur Amirah Shakirah Zulkifli sedia menjadikan Sukan Komanwel bermula Rabu ini sebagai pentas 'melepaskan geram' selepas masih dibayangi kekecewaan saat akhir disisihkan daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Menurut penggempur muda itu, semangatnya untuk mewakili skuad Malaysian Tigress kini begitu meluap-luap apatah lagi sebelum ini dinafikan peluang membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa berikutan penyakit misteri yang membelenggunya.

Malah, keinginan tingginya itu dibuktikan menerusi sentuhan penyudah tajamnya dalam enam aksi persahabatan terakhir termasuk jaringan menariknya ketika membantu skuad Dhaarma Raj Abdullah mengatasi New South Wales Institute of Sports (NSWIS) 4-2 di Gold Coast, semalam.

"Sudah hampir setahun sejak kali pertama saya diserap ke dalam pasukan, tetapi sehingga kini saya masih belum mendapat peluang bermain dalam aksi kompetitif buat negara.

"Jadi, sudah tentu kepercayaan diberikan jurulatih kali ini saya akan galas sebaik mungkin dengan cuba menjaringkan sebanyak gol," katanya.

Amirah, 18, sebelum ini terpaksa diketepikan Dhaarma daripada KL2017 selepas tidak mendapat pelepasan pasukan perubatan Majlis Sukan Negara (MSN).

Difahamkan, ia berpunca daripada masalah penyakit misteri yang boleh mengakibatkan pemain kelahiran Kulim, Kedah itu tumbang sekiranya beraksi di bawah cuaca panas.

Bagaimanapun, dalam ujian yang dijalankan baru-baru ini menyaksikan Amirah sudah pulih sepenuhnya daripada masalah berkenaan.

"Saya sudah bertemu doktor dan beliau memberitahu saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk kembali beraksi seperti biasa, saya anggap ia mungkin rezeki saya kali ini."

Ditanya adakah dia merasai tekanan sebagai pemain paling muda dalam skuad kali ini, Amirah yang meledak sembilan gol dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2018 tidak menafikannya.

"Tekanan itu memang ada, mungkin sebab kali pertama beraksi di pentas besar, namun pada masa sama saya juga teruja. Tetapi apa yang penting saya kini sudah menyesuaikan diri dalam pasukan."

Skuad negara akan meneruskan aksi pemanas badan kedua menentang NSWIS, Ahad ini sebelum memulakan kempen temasya kedua terbesar dunia itu dengan menentang England, India, Afrika Selatan dan Wales dalam saingan Kumpulan A.

Berita Harian X