Isnin, 2 April 2018 | 4:58pm
SKUAD hoki negara bergambar sebelum berlepas daripada KLIA 2 bagi menyertai Sukan Komanwel Gold Coast 2018. -Foto MOHD FADLI HAMZAH

Skuad hoki lelaki mahu padam mimpi ngeri

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara mahu menamatkan mimpi ngeri di Glasgow 2014 dengan misi sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia yang akan disingkap tirainya secara rasmi, Rabu ini.

Secara realistik, perebutan pingat emas tampak tidak mungkin akan dimenangi sembilan pasukan lain kerana Australia selaku tuan rumah jelas pasukan pilihan untuk memenanginya buat kali keenam.

Sejak dipertandingkan pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, Australia sudah memenangi kesemua lima emas.

Penampilan terbaik Malaysia adalah memenangi perak pada 1998 selepas tewas 0-4 kepada Australia pada aksi final.

Malaysian Tigers juga pernah meraih gangsa di Melbourne 2016 sementara di Scotland empat tahun lalu sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Ketika itu, mereka dibelasah oleh England 8-1 sebelum dimalukan Trinidad & Tobago 4-2.

Mengambil kira pencapaian pada saingan Piala Sultan Azlan Shah bulan lalu, England dan India dilihat pasukan yang sukar dalam saingan Kumpulan B apabila skuad negara tewas 2-7 dan 1-5.

Hanya Pakistan dan Wales yang dilihat sebagai peluang Malaysia untuk mengutip mata.

"Sudah pasti apabila kita bermain di satu-satu kejohanan, kita akan cuba untuk memenangi pingat. Di Gold Coast, sasaran awal untuk cuba melangkah ke separuh akhir," kata jurulatih Stephen Van Huizen.

Beliau turut menegaskan, kejohanan itu juga akan menjadi pentas terbaik untuk mengharungi saingan Sukan Asia di Indonesia Ogos depan serta Piala Dunia di Bhubaneswar pada Disember.

"Sukan Komanwel penting untuk skuad negara menjelang Sukan Asia. Kami perlu beraksi dengan baik di Sukan Komanwel dan memenangi emas di Sukan Asia untuk membolehkan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Di Gold Coast, Malaysia diletakkan dalam ranking keenam sementara Australia pilihan utama diikuti India, New Zealand, England dan Kanada.

"Walaupun kami tidak mempunyai keputusan yang bagus bertemu India dan England dalam saingan Piala Azlan Shah, ia bukanlah alasan untuk kami menyerah," katanya.

Malaysia juga harus berwaspada dengan Pakistan dan Wales selepas kehilangan penjaga gol utama, S Kumar yang sedang berdepan penggantungan sementara kerana positif ujian doping sementara beberapa pemain utama tidak dapat digunakan kerana masalah kecederaan serta menyambung pelajaran.

INFO

Sukan: Hoki lelaki

Tarikh: 5-14 April

Venue: Pusat Hoki Gold Coast

Sasaran: Separuh akhir

Pencapaian 2014: Ketujuh

Kumpulan A: Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan, Scotland

Kumpulan B: India, England, Malaysia, Pakistan, Wales

Skuad:

Penjaga gol - Hairi Rahman, Hafizuddin Othman

Pertahanan - Shukri Mutalib, Razie Rahim, Najmi Farizal Jazlan, Syed Syafiq Syed Cholan, Amirol Aideed

Tengah - Fitri Saari, Nabil Fiqri, Azri Hassan, Joel Samuel van Huizen, Meor Azuan Hassan,

Penyerang - Tengku Ahmad Tajuddin, Faizal Shaari, Ramadan Rosli, Shahril Saabah, Firhan Ashari, Norsyafiq Sumantri

201 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »