Isnin, 2 April 2018 | 6:02pm
AFIQ Afify (belakang) dan Khairul Adha tekad bawa pulang paling kurang gangsa. -Foto fail

Afiq, Khairul sasar pecah rekod Asia lagi

SEPANG: Pelumba basikal para negara, Muhammad Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol memasang impian memecahkan rekod Sukan Asia sekali lagi dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) tandem di Sukan Komanwel Gold Coast, hujung minggu ini.

Menurut Afiq, dia dan Khairul juga akan berjuang bermati-matian demi menghadiahkan sekurang-kurangnya sebutir pingat gangsa sama ada dalam acara pecut 200 meter (m) dan ujian masa 1km tandem.

"Saya dan Khairul akan cuba memastikan tiada kesilapan teknikal dilakukan sekali gus mencerahkan peluang kami untuk menaiki podium nanti.

"Bagaimanapun, saya tetap kena waspada dengan pelumba lain terutama Britain dan tuan rumah, Australia yang sudah pasti mahu memenangi pingat dalam acara pecut 200m dan 1km," katanya.

Sebelum ini, Afiq dan Khairul berjaya memecahkan rekod Asia acara 1km ujian masa pada Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio de Janeiro, Brazil pada 25 Mac lalu.

Afiq dan Khairul berjaya mencatat masa 1 minit 4.192 saat (s) sekali gus memadamkan rekod lama 1.04.266s yang dicipta gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiro-Yasufumi Ito pada Sukan Paralimpik London 2012.

Bagaimanapun, mereka sekadar menduduki tempat kelapan daripada 20 peserta dengan perlumbaan itu dimenangi gandingan Great Britain, Neil Fachie dan jurumudi, Matthew Rotherham yang mencatatkan masa 59.686s.

Perak pula dimenangi satu lagi wakil Great Britain, James Ball-Peter Mitchell (1:00.535s) manakala pasangan Belanda, Tristan Bangma-Patrick Bos meraih gangsa (1:00.755s).

Sementara itu, jurulatih basikal para kebangsaan, Mohd Johari Nayan, pula menegaskan Afif dan Khairul wajib menang emas sama ada dalam acara pecut 200m atau ujian masa 1km kerana ia sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) mereka selaku atlet bernaung di bawah Program Podium.

145 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »