Isnin, 2 April 2018 | 6:54pm

Syed Adam mahu ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Atlet lawan pedang negara, Syed Adam Emir Putra menaruh harapan tinggi agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap menghantar wakil dalam acara lawan pedang pada saingan Sukan Asia di Indonesia, Ogos nanti.

Dia yang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu mengakui adalah suatu kerugian sekiranya kontinjen Malaysia tidak menyertai acara berkenaan ketika gergasi dunia seperti Korea Selatan bakal bersaing di temasya itu.

Jelasnya, banyak perkara positif boleh diraih atlet negara selepas mereka mempamerkan aksi cemerlang di Sukan SEA sebelum ini.

"Buat masa ini, kami tak tahu lagi adakah Malaysia akan menghantar atlet ke Sukan Asia kerana MOM mahu menilai semula program kami. Sukan Asia memang lagi besar daripada Sukan SEA kerana ada Korea Selatan dan Jepun. 

"Kalau kita pergi ke sana, kita boleh lihat tahap kita dan dapat raih keputusan positif. Kita ada peluang untuk maju dan cuba layak ke Sukan Olimpik di masa depan," katanya ketika ditemui pada pelancaran pusat latihan baru Kelab Lawan Pedang Antarabangsa Malaysia (IFCM) di Sri Petaling, semalam.


ATLET lawan pedang negara, Syed Adam Emir Putra (kiri) ketika beraksi di Sukan SEA KL2017. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mengulas mengenai usaha IFCM dalam mengembangkan sukan itu dikalangan kanak-kanak sekolah, penuntut dari Universiti Help itu memuji komitmen tinggi kelab berkenaan yang kini dikendalikan oleh bekas atlet Olimpik negara, Yu Peng Kean.

"Di kelab ini, ramai jurulatih berpengalaman pernah bertanding di kejohanan dunia serta Sukan Olimpik London pada 2012 lalu. Jadi saya rasa, semua atlet akan dapat faedah daripada jurulatih di sini," katanya.

Sementara itu, Peng Kean berhasrat untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan itu yang kini makin mendapat tempat di hati pelajar sekolah.

"Sebelum ini kawasan kita agak terhad. Sekurang-kurangnya (lokasi baru) ia dapat beri keselesaan dan kemudahan lebih bagus kepada pelajar kita yang hadir selepas ini.

"Buat masa ini kita ada seramai 60 orang dan saya percaya bilangan itu akan bertambah lagi," katanya yang meletakkan yuran bulanan sebanyak RM280 kepada peserta.

147 dibaca
SYED Adam Emir Putra (kanan) bersama bekas atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean (kiri) di Kelab Lawan Pedang Antarabangsa Malaysia. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »