Selasa, 10 April 2018 | 7:11pm
SIVASANGARI bersama Rachel Arnold berjaya menewaskan juara dunia Joelle King-Amanda, hari ini. - Foto fail

Rachel-Sivasangari jinak juara dunia

GOLD COAST: Pasangan negara, Rachel Arnold-S Sivasangari melakar kejutan pada aksi peringkat kumpulan acara skuasy beregu wanita Sukan Komanwel apabila menjinakkan juara dunia dari New Zealand, Joelle King-Amanda Murphy 2-0 di Oxenford Studios, hari ini.  

Aksi pasangan negara itu ternyata sukar dikekang juara dunia itu apabila menang 11-10,11-10.     

Rachel berkata, kejayaan menewaskan pilihan utama dan juara dunia itu sesuatu yang luar biasa.  

"Pencapaian ini sesuatu yang menakjubkan," kata Rachel. "Kami gementar sewaktu menentang mereka tetapi kami mencuba sebaik mungkin untuk menewaskan mereka dan gembira dengan kemenangan ini."  

Sivasangari pula menyifatkan kejayaan itu hasil usaha mereka mengkaji strategi lawan sebelum berjuang.   

"Ini kali pertama kami menghadapi kejohanan besar seperti ini," katanya. "Kami banyak berlatih dan mengkaji video mengenai corak permainan beregu lawan dan ternyata ia banyak membantu kami."   

Rentak positif Rachel-Sivasangari turut disusuli pasangan Aifa Azman-Sanjay Singh yang menewaskan Charlotte Knaggs-Kale Wilson 2-0 menerusi acara beregu campuran.   

Namun pada aksi berikutnya, mereka tewas 0-2 kepada gandingan tuan rumah, Rachael Grinham-Ryan Cuskelly.    

Sementara itu, gandingan pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Nafiizwan Adnan dan Ivan

Yuen menewaskan pasangan Othniel Bailey-Oman Wilson 2-0.   

Dua beregu terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Berita Harian X