Selasa, 17 April 2018 | 9:28pm
TIMBALAN Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika ditemui selepas mesyuarat eksekutif MOM di Wisma MOM. - Foto Owee Ah Chun

Calon MOM rahsia

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih mahu berahsia dengan nama calon yang akan bertanding merebut jawatan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 5 Mei depan.

Sebaliknya, pencalonan yang dikendalikan oleh panel bebas itu hanya akan diumumkan pada tarikh akhir pencalonan pada 24 Mei ini.

Malah Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang menjadi calon pilihan untuk menggantikan presiden Tunku Imran Tuanku Ja'afar juga belum berani mencongak nasibnya.

"Kita tahu tarikh tutup penamaan calon pada pemilihan MOM pada 24 April depan, hanya ketika itu saya dapat tahu sama ada saya menang secara tak bertanding atau saya akan dicabar.

"Apa saja perkara yang berlaku pada hari itu, semua ahli gabungan tahu saya mahu menawarkan diri berkhidmat kepada MOM," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat ahli lembaga eksekutif MOM hari ini.

Kerusi nombor satu MOM bakal menjadi rebutan apabila Tunku Imran mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini selepas menyandang jawatan itu selama 20 tahun.

Bagaimanapun difahamkan setakat ini, tiada calon ingin mencabar Norza yang turut mendapat sokongan Tunku Imran.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan berbicara mengenai peluangnya selepas pencalonan dibuka setakat ini.

"Apa komen yang akan saya buat selepas 24 April, sebab saya masih Timbalan Presiden MOM, saya juga Presiden BAM, dalam sukan saya tak nak babitkan diri dalam spekulasi tak sihat, jika mandat itu diberikan, terpulang kepada ahli gabungan," katanya.

246 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »