Rabu, 16 Mei 2018 | 3:41pm
PELUNCUR ais negara, Khairil Ridhwan Khalil (dua dari kanan) di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bt 14 Hulu Langat.
KHAIRIL Ridhwan Khalil (kiri) memenangi tiga pingat emas ketika menyertai Kejohanan Luncur Ais di Singapura baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Khairil hilang sumber inspirasi

KUALA LUMPUR: Peluncur ais negara, Khairil Ridhwan hilang sumber inspirasi selepas bapanya, Khalil Ibrahim yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada sukan itu, meninggal dunia malam tadi.   

Khairil yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berkata bapanya yang berusia 84 tahun meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan demam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pada jam 10 malam.

Biarpun sedih, Khairil, 17, yang memenangi tiga pingat emas ketika menyertai Kejohanan Luncur Ais di Singapura baru-baru ini berkata, dia akan tetap meneruskan perjuangan dalam sukan itu.

"Sebelum bapa meninggal dunia, beliau sempat berpesan kepada saya untuk kuat dan buatlah apa yang saya rasa terbaik untuk diri saya.

"Cari kebahagiaan diri sendiri, jadi saya akan berusaha memberi yang terbaik dalam sukan ini seterusnya membanggakan arwah dan keluarga," katanya.

Jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 Hulu Langat pagi tadi.

Khairil berkata, ketika arwah  masih hidup, beliau sentiasa memberi kata-kata semangat dari jauh kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menyaksikan dia beraksi di depan mata.

Mengakui sukar untuk memartabatkan sukan luncur ais di negara tropika seperti Malaysia, Khalil berkata, ia bukan halangan buat dirinya yang memasang impian menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan sains psikologi.

Katanya, dia akan kembali menjalani latihan dalam tempoh terdekat selepas semua kembali tenang kerana terdapat beberapa lagi kejohanan yang akan disertai antaranya di Sydney, Australia dan New Zealand, September depan.

Khairil antara atlet yang meraih emas dalam acara luncur ais 3,000 meter berganti-ganti di KL2017 turut menanam impian beraksi di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Berita Harian X