Jumaat, 8 Jun 2018 | 8:29pm
KETUA jurulatih skuad hoki wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq
KETUA jurulatih skuad hoki wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dhaarma pasrah

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terpaksa akur dengan susunan jadual perlawanan pada pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura bermula 23 Jun ini yang dilihat tidak memihak kepada Malaysian Tigress.

Ini kerana skuad negara yang diletakkan selaku pilihan utama di kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 itu, terpaksa mengharungi perlawanan seawal jam 3 petang pada dua perlawanan pertama ketika bertemu Indonesia dan Hong Kong.

Situasi itu pastinya menyukarkan skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang terpaksa beraksi dalam cuaca panas terik. 

Dhaarma bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa kerana selaku tuan rumah, Singapura mempunyai kelebihan dalam menentukan jadual perlawanan. 

"Seboleh-bolehnya memang kami pun tak mahu bermain jam 3 petang. 

"Mungkin kerana kami adalah pasukan pilihan, pihak penganjur cuba untuk menyukarkan kami," katanya. 

Tegas Dhaarma, bagaimanapun perkara itu adalah biasa dilalui oleh pasukan pilihan apabila beraksi di tempat lain. 

"Perkara sama berlaku ketika kita menjadi tuan rumah pusingan kedua Liga Hoki Dunia tahun lalu apabila pasukan dari Eropah terpaksa bermain di sebelah petang," katanya.

Bagi Dhaarma, beraksi dalam situasi yang tidak selesa akan menambah beban anak buahnya, ditambah kecenderungan semua lawan yang dijangka akan beraksi secara bertahan apabila bertemu skuad negara. 

"Pasukan seperti Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Thailand kesemuanya pasti akan bermain secara bertahan dan kemudian melakukan serangan balas. 

"Perkara ini yang merisaukan kita," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X