Jumaat, 29 Jun 2018 | 9:36pm
Skuad Hoki Wanita Negara bergambar bersama sebelum berlepas ke Singapura dari Majlis Sukan Negara (MSN) Casa 3 untuk saingan pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka dari 23 Jun sehingga 1 Julai 2018. - Foto Rosela Ismail

Kilauan emas menanti Malaysian Tigress

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki wanita negara akan turun menentang Thailand dalam aksi perebutan pingat emas Siri Hoki Terbuka di Stadium Seng Kang, Singapura, Ahad ini.

Semalam, Malaysia mudah menundukkan Singapura 5-0 untuk menguasai carta kedudukan apabila meraih 15 mata, jumlah mata maksimum manakala Thailand yang menewaskan Kazakhstan 4-0 menduduki tempat kedua dengan 12 mata.

Thailand sebelum itu tewas kepada Malaysia 4-0, dijangka tidak mampu menghalang penguasaan anak didik Dhaarma Raj Abdullah untuk memburu gelaran juara.

Juara dan naib juara di Singapura akan mara ke peringkat seterusnya yang akan diputuskan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Daripada kesemua pasukan yang beraksi di pusingan pertama, sekurang-kurangnya 15 pasukan akan layak ke salah satu dari tiga Siri Akhir Hoki.

Setiap Kejohanan Siri Hoki Akhir akan membabitkan lapan pasukan dan akan berlangsung di seluruh dunia dengan pasukan itu turut berpeluang merebut tempat ke pusingan kelayakan ke Olimpik.

Gol pasukan negara di sumbangkan oleh Nur Zafirah Aziz (minit pertama), Wan Norfaiezah Saiuti (keenam), Nur Amirah Shakirah Zulkifli (m-30), Fatin Shafika Shukri (m-56) and Nuraini Rashid (m-58).

"Sebagai pasukan yang mempunyai ranking tertinggi dalam kejohanan ini, tentu saja kami mahu memenangi emas dan biarpun kami sudah menewaskan Thailand 4-0 pada peringkat kumpulan, kami tidak akan mengambil ringan pertemuan di final nanti.

"Thailand sentiasa mempunyai cita-cita menewaskan Malaysia jadi kami tidak akan memberi mereka peluang," kata Dhaarma.

Untuk rekod Malaysia menewaskan Thailand 2-0 di final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang lalu.

Berita Harian X